
Kanak-Kanak 8 Tahun Gigit Balik Ular Tedung Sampai Mati Selepas Geram Kena Patuk
“Ular itu membelit dan menggigit tangan saya. Saya merasa sangat sakit dan memandangkan ular itu tidak bergerak, jadi saya menggigitnya sebanyak dua kali.”
Bukan satu. Tapi dua. Dua kali!
Demikian cerita seorang kanak-kanak berusia 8 tahun, Deepak, yang dilaporkan berlaku di sebuah perkampungan luar bandar Pandarpadh, di daerah Jashpur, India awal minggu ini.
Kawasan puak Jashpur memang dikenali sebagai ‘tempat tinggal ular’ atau Naglok kerana dikatakan lebih dari 200 spesis ular boleh ditemui di kawasan tersebut.
Pada mulanya, Deepak sedang bermain-main di kawasan rumahnya. Tiba-tiba seekor ular tedung yang amat dahsyat datang mematuknya yang sedang seronok bermain.
Geram dengan ular tersebut, Deepak menggigit ular itu kembali sebanyak dua kali sehingga akhirnya ular tedung itu mati akibat kecederaan teruk yang dialaminya tidak lama selepas itu.
Keluarga Deepak kemudiannya segera membawa kanak-kanak berani tersebut ke klinik berdekatan sebelum pegawai perubatan memberikannya suntikan antiracun dan meletakkannya di bawah pemerhatian.
Kejadian itu sangat menakjubkan kerana menurut seorang pakar ular, Qaiser Hussain, kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang gejala ganjil dan dapat pulih dengan cepat.
Menurutnya lagi, ini berkemungkinan kerana, gigitan tersebut didapati kering apabila ular berbisa itu mematuknya dan tiada racun yang dikeluarkan.
BACA: Padah Biarkan Digigit Labah-Labah Berharap Jadi Spider-Man, Tiga Beradik Dikejar Ke Hospital
Sumber: Majoriti