Budak

“…Kami Memang Tak Tahu Ada Budak Yang Dibela Oleh Pasangan Ini…”

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menurut rata-rata penduduk Kampung Sri Pantai, Senggarang, Johor, tiada siapa yang tahu berkenaan pasangan suami isteri yang ditahan polis bersama tiga lagi rakan mereka kerana dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga meninggal dunia baru-baru ini.

“Kami tak tahu adanya kes penderaan budak ni sehingga keluar di akhbar,” jelas Rosli Pingii, 52 kepada wartawan Shahrizal Ahmad Zaini yang melaporkan untuk akhbar Sinar Harian.

Menurutnya lagi, penduduk yang tinggal berhampiran dengan rumah pasangan berkenaan, memang tidak mengetahui mengenai penderaan tersebut, berikutan sikap pasangan itu yang tidak bercampur gaul dengan orang ramai.

Malah, selama ini penduduk kampung juga tidak mengetahui adanya kanak-kanak berkenaan yang juga merupakan adik bongsu yang tinggal bersama kakak kandungnya di rumah itu.

“Dalam perkara ini, boleh kata sebagai kes terpencillah, kerana selama ini, kami memang tak tahu ada budak yang dibela oleh pasangan ini, lagi pun mereka memang jarang berjumpa dengan masyarakat di sini.

“Mereka juga kurang berbual dengan penduduk kampung, terutamanya dengan jiran-jiran yang tinggal di kampung ini.

“Jadi kita anggap dia tidak ada di sini… walaupun ada, kita anggap macam tak ada, sebab mereka memang tak pernah bercampur dengan masyarakat,” ujarnya lagi.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Mohd Riduan Mokhsin, 24, berkata dia memang jarang bertemu dengan pasangan berkenaan.

“Memang jarang nampak dia ni sebab jarang bergaul dengan orang… jumpa orang pun jarang-jarang.

“Itu yang buat kami sampai tak tahu dan sampai boleh jadi kes macam ni di kampung ini.

“Lagi pun kami memang tak tahu dan tak nampak benda-benda macam ni (dera) berlaku… kalau nampak, takkanlah kami biarkan saja,” tegasnya.

Sebelum ini, polis mengesahkan berlaku penderaan terhadap kanak-kanak malang berkenaan berikutan kecederaan serius di seluruh badannya terutama sekali di bahagian kepala dan kaki dipercayai akibat dipukul selain dicucuh dengan objek panas.

Dia kemudiannya dibawa untuk menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HIS) sebelum menghembuskan nafas terakhir sekitar 6.40 petang, Isnin lalu.

Budak

BACA: Mengaku Salah Mendera, Hanya Denda RM20 Ribu – Penjelasannya Dari Sudut Perundangan

Sumber: Sinar Harian