
“…Kalau Positif Kita Kena Cari Ini Tahi Siapa?” – Ujian Air Kumbahan KKM Dipertikai
Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan bakal melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari China bagi memperkukuhkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa dalam mengekang penularan COVID-19.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sampel air kumbahan tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR), seterusnya dihantar untuk penjujukan genom jika dikesan positif COVID-19.
Namun demikian, di media sosial, langkah KKM ini didapati telah dipertikaikan oleh beberapa pihak tertentu dan juga segelintir warganet yang beranggapan ianya sebagai satu langkah yang tidak wajar, sia-sia dan tidak efektif.
Terpanggil untuk memberikan sedikit pencerahan berkenaan isu ini, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Fadly Khairie telah membuat hantaran berikut di Facebooknya bagi mendidik orang ramai agar lebih faham mengenai langkah penting yang diambil oleh KKM ini.
Jom sama-sama baca penjelasan yang dibuat oleh Dr Fadly berikut.
Kenapa kita test air kumbahan pesawat untuk COVID-19?
Baru-baru ini KKM melalui kenyataan media ada mengatakan yang antara langkah-langkah yang akan dilakukan sebagai respon China membuka sempadan mereka adalah dengan melakukan ujian air kumbahan dari pesawat.
Saya rasa terpanggil untuk bercerita tentang isu ini disebabkan di kalangan doktor sendiri ada yang confuse dengan tindakan yang diambil.
- Test air kumbahan ni maksudnya kita ambil sample dari air kumbahan dari flight kemudian kita hantar ke makmal untuk analisis takat/level Covid-19 di dalam sampel air tersebut.
- Yang bagusnya kita buat begini supaya kalaupun orang itu tak ada gejala, dia tetap akan ada komponen-komponen atau partikel/partikel virus Covid-19.
- Kalau level ini tinggi dia ada perkaitan dengan kadar Covid-19 yang tinggi di sesuatu kawasan.
- Tapi langkah ini bukan langkah saringan, ini bukan langkah-langkah untuk detect siapa yang positif, ini langkah survelans/pemantauan untuk kita tahu betapa serius jangkitan Covid-19 di sesuatu kawasan. BUKANLAH KALAU POSITIF KITA KENA CARI INI TAHI SIAPA?
- Tiada soal lambat atau cepat, sebab ini bukan kita nak sekat siapa pelancong positif tapi lebih kepada nak melihat situasi kadar penularan atau jangkitan yang berlaku.
- Data-data level ini akan diberi kepada pejabat kesihatan dan pakar-pakar perubatan kesihatan awam akan menilai dan merancang polisi apakah langkah-langkah berkesan yang boleh dilakukan untuk mengawal penyebaran jangkitan di negara. Juga boleh jadi penilaian kalau kita dah buat langkah-langkah kawalan sama ada kaedah yang digunakan itu berkesan atau tidak.
- Satu perkara kita kena faham, langkah-langkah kesihatan awam ini bukan macam kita buat pembedahan, kita buat satu selesai masalah. Perlu gabungan beberapa kaedah dan kaedah-kaedah ini dinamik dan boleh berubah-ubah.
- Kita bukan setakat test air kumbahan sahaja, tapi buat juga aktiviti-aktiviti lain. Sewaktu kita membaca ini pun, mereka sudah pun buat saringan suhu dan gejala kepada pelancong dan pengisytiharan gejala. Saringan itu yang akan kesan dan tahan mereka yang bergejala.
- Adakah kita akan buat saringan PCR di pintu masuk atau wajibkan PCR negatif untuk semua pelancong dari China? Mungkin boleh, polisi ini mengambil masa dan memerlukan kos sebab itu kita perlu data-data survelans sebagai bukti supaya kita boleh gerakkan sumber pada masa yang tepat tanpa sebarang pembaziran.
- Kenapa kita tidak sekat sahaja pelancong dari China? Selama ini sudah sekian lama mereka tak masuk ke mana-mana negara dan semua negara telah bersedia untuk memastikan tahap immuniti terhadap Covid-19 telah mantap. Sekatan hanya langkah sementara dan tidak sesuai untuk langkah masa panjang. Lagipun, kenapa sekat mereka sedangkan semua rakyat Malaysia pun sudah bebas melancong ke serata dunia.
Jadi tak ada isu sample air kumbahan ini sebagai cara yang tidak efektif. Bukan negara kita je yang buat, US, Australia pun buat juga. Ini juga bukan kali pertama KKM buat, sudah banyak kali kita buat untuk penyakit-penyakit yang lain.
Bawa bertenang, kaedah ini akan diperkukuh dengan langkah-langkah lain. Yang lagi bagus kita kena memastikan yang kita mengambil dos penggalak dan sentiasa menjaga kesihatan kendiri. Nak atau tidak kita sendiri sudah kena hidup dengan COVID-19 di sekeliling kita.
Dr Fadly Khairie
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
BACA: Sudah Dua Tahun Bergelut Dengan Pandemik, Pakar Jawab Kenapa Ada Orang Tak Dijangkiti COVID-19
Sumber: Fadly Khairie