
“Kalau Nak, Beli Di Pulau Pinang” – Kedah Bakal Haramkan Kedai Nombor Ekor
Mahu mencapai sifar judi bermula tahun depan, kerajaan Kedah bakal haramkan semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak berkuasa tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan bagi premis berkenaan kerana aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang, lapor FMT.
“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.”
Beliau menjelaskan keputusan itu turut dibuat atas rasa tanggungjawab beliau sebagai Menteri Besar yang akan disoal Allah di akhirat kelak.
“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah.
BACA: Tular Iklan Raya Ajak Berjudi, Tak Jaga Sensitiviti Umat Islam
Susulan kenyataan itu, beliau berharap semua pihak, termasuk penduduk negeri itu memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian.
“Kerana bila ada premis, ada aktiviti, bukan saja bukan Islam (yang terlibat), jadi saya harap (keputusan ini) dapat difahami dengan seadil-adilnya,” katanya.
MIC selar tindakan haramkan kedai nombor ekor
Sementara itu, Naib Presiden MIC, T Mohan menyelar tindakan Sanusi dengan menyifatkan sebagai tidak menghormati bangsa lain di negeri itu.
Beliau juga menganggap Menteri Besar Kedah ini suka publisiti murahan untuk mendapatkan sokongan.
Ujarnya, Sanusi sepatutnya mengkaji kemungkinan mengehadkan premis perjudian, bukan membuat keputusan drastik tidak memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor.
“Kena hormat (hak bukan Muslim). Negara ini bukan (untuk) orang Islam saja. Yang bukan Islam pun ada. Kalau orang bukan Islam nak main judi, lepaskanlah. Kalau tengok Islam main judi, tangkaplah,” katanya.
Sumber: FMT