
“Kak! Kira Kak” – Saat Debaran Yang Sering Ditempuhi Oleh Orang Ramai Di Kedai Makan
Bagi mereka yang sering berkunjung ke kedai makan, saat menunggu nasi dan lauk yang telah diambil untuk dikira atau ditentukan cajnya kadang-kadang boleh diumpamakan seperti menanti hukuman dijatuhkan di mahkamah atas kesalahan yang pernah dilakukan.
Memang berdebar-debar rasanya lebih-lebih lagi kalau dah terambil jenis lauk dalam kuantiti yang agak banyak, kan? Pasrah sajalah terima ‘hukuman’.
Satu lagi dilema ialah ketika diberitahu supaya ‘makan dulu’ oleh pemilik atau pekerja kedai tersebut yang boleh menimbulkan keresahan sehingga putus selera makan kerana masa yang diambil kadang-kadang terlalu lama sehingga pinggan pun dah habis licin.
Ustaz Khairul Anuar Basri menegur jual beli yang boleh jadi gharar serta agak kurang patuh Syariah seperti ini yang sering berlaku setiap hari melalui hantaran di Facebooknya berikut:
“Kak! Kira kak”, cakap saya pada kakak yang sendukkan nasi dan lauk untuk saya.
“Takpe. Makan dulu ye”, balas akak tu spontan.
Saya pun pilih meja dan duduk untuk mula makan. Tapi hati masih rasa tak best sebab akak tadi belum kira makanan yang saya ambil.
“Kak! Kira kak”, tegur saya kat seorang staf dalam kedai tu. Dia tukang ambil order air kot.
“Kejap lagi akak tu kira”, sambil dia tunjuk kat akak sorang lagi.
Tunggu lama sangat, saya pun mula makan. Makan pun slow-slow je sebab takut terjejas pulak nasi dan lauk dalam pinggan.
Tapi tulah. Setiap kali saya panggil staf kedai tu untuk kira, setiap kali tulah dia akan cakap benda yang sama.
“Nanti akak tu kira”.
Sampailah saya dah selesai makan. Pinggan dah licin. Yang tinggal hanya tulang-temulang. Then baru akak tukang kira tu datang.
“Makan apa tadi?”
Adoiiii… kan dah susah saya kena explain pulak. Kan lagi baik kalau dia boleh kira awal-awal sebelum saya makan?
Saya pun mula bercerita.
“Saya ambil nasi sikit je. Tak sampai pun separuh. Lepas tu kuah saya campur gulai dengan kerutub. Sayur campur pun sikit je. Ayam goreng saya ambil seketul. Tapi macam tak besar mana pun. Leher dengan hati sikit. Daging goreng saya ambil sesudu. Tak pasti pulak berapa keping. Lepas tu saya ambil bilis petai sikit. Tak banyak sangat. Cuma lebih petai rasanya dari bilis”, cerita saya panjang lebar.
Sambil-sambil tu saya tengok akak tukang kira tu mula garu kepala. Tak berapa pasti la kot nak kira macamana.
“Itulah kak. Saya dari awal lagi cakap suruh kira. Sekarang siapa yang susah?”, tegur saya mesra.
“Boleh je saya kalau nak cakap, akak kira aje la apa yang akak nampak atas pinggan saya ni. Tinggal tulang aje. Tapi saya bukan jenis macam tu. Ini pun makanan. Nanti jadi darah daging saya.
Bayangkan kalau orang nak menipu. Dia ambil lauk macam-macam. Then dia cakap dia makan 1 lauk saja. Boleh bankrap kedai akak ni”, panjang pulak syarahan saya kat akak tu.
Ini bukan dilema saya seorang rasanya. Ramai lagi di luar sana alami perasaan yang sama.
Dan jual beli macam ni walaupun seolah-olah dah jadi uruf, pada pendapat saya ia mesti diperbetulkan. Boleh jadi jual beli yang gharar ni. Sebab letak harga pada barang yang dah takde dan tak dapat dilihat.
Ayam tetap ayam. Tapi takkan sama harga ayam kecil dengan serpihan ayam.
Sayur campur tetap sayur campur. Tapi takkan sama harga ambil sesudu penuh dengan sesudu tak berapa penuh. Walaupun namanya sesudu.
Daging tetap daging. Tapi ambil 2 senduk daging mungkin boleh jadi lebih banyak daripada ambil 3 senduk daging.
Begitulah seterusnya.
Jadi, kalau nak suruh makan dulu pun, terus ambil catatan dan bagi harga sebelum pelanggan mula makan. Nanti akan mudahkan kedua-dua belah pihak.
Yang makan mudah. Yang jual pun mudah. Semuanya pasti dan tak payah nak explain bagai bila semua makanan dah pun selamat masuk perut.
Saya tengok restoran fast food lebih patuh syariah dalam hal ini. Ambil order, bayar dan terus ambil makanan untuk dimakan. Kan itu lebih patuh Syariah?
Jangan jadi macam sesetengah kedai makan. Ada pelanggan yang nakal suka usik akak yang tukang kira. Dia minta akak tu kira sekali lagi. Kali pertama kira jumlahnya lain. Kali kedua kira jumlahnya jadi lain.
Kalau makin murah ok ah. Kalau makin mahal?
Haru!
#KAB
BACA: Pempengaruh Tak Semestinya Betul, Bacalah ‘Review’ Dulu Sebelum Pilih Kedai Makan
Sumber: Khairul Anuar Basri