
Kajian Terkini Dapati Minum Alkohol Boleh Rosakkan Otak Walaupun Dalam Kuantiti Sedikit
Minum alkohol rosakkan otak walaupun dalam apa jua kuantiti.
Minuman alkohol mengandungi etanol, iaitu sebatian yang tergolong dalam kumpulan dadah yang boleh menindas fungsi sistem saraf pusat. Ianya boleh melambatkan tindakbalas fizikal dan mental peminumnya.
Selain itu, etanol juga adalah dadah yang boleh mendatangkan kebergantungan atau ketagihan jika diambil setiap hari.
Kesan alkohol kepada peminumnya bergantung kepada jumlah alkohol yang berada dalam peredaran darah seseorang itu. Peminum yang mengambil minuman beralkohol dalam jumlah yang banyak akan mabuk.
Pengambilan minuman beralkohol memberi kesan serta-merta kerana ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak sebelum mengganggu fungsinya hingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, ingatan dan lain-lain peranan.
Kajian sebelum ini ada mengatakan meminum jumlah alkohol yang sedikit tidak merosakkan kesihatan.
Namun, sebuah kajian terkini dari University of Oxford mendakwa alkohol tidak selamat diminum walaupun dalam kuantiti yang sedikit.
Ia berdasarkan kajian hubungan antara pengambilan alkohol dengan kerja otak yang mana melibatkan data dari 25,378 peserta dari pelbagai latar belakang usia, jantina dan tahap pendidikan.
Penyelidik mendapati, mereka yang minum alkohol akan berlakunya pengurangan jirim kelabu otak – bahagian yang memproses informasi sebanyak 0.8%. Walaupun peratusannya kecil, ia sehingga empat kali lebih berbanding kesan pengambilan bahan tembakau.
Mereka juga mengkaji tahap kuantiti minuman beralkohol, jenis minuman dan mendapati bahawa tidak kira besar atau kecil kadar pengambilannya, tetap menyumbang kepada kerosakan otak.
Sementara itu, tekanan darah dan BMI juga lebih tinggi pada mereka yang mengambil alkohol walaupun dalam jumlah yang sederhana.
Garis panduan Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom pada tahun 2016 juga menyatakan tidak terdapat kadar selamat untuk pengambilan alkohol (no safe level of alcohol consumption).
Ini membawa kesimpulan bahawa tiada istilah ‘selamat’ dalam pengambilan alkohol.
BACA: Hanya Boleh Minum Di Rumah, Ini Antara Undang-Undang Tegas Berkait Alkohol Di Norway
Bacaan lanjut mengenai kajian ini boleh klik di pautan ini.
Sumber: The Guardian, My Health
Trending now



