
Kaedah Dan Formula Untuk Mencari Malam Lailatul Qadar
Di Malaysia, 10 malam terakhir Ramadan tahun ini jatuh pada waktu bermulanya malam 22 April 2022/20 Ramadan 1443 iaitu pada hari Jumaat malam Sabtu (malam 21 Ramadan).
Demikian dijelaskan oleh Ustaz Muhammad Fahmi Rusli melalui ciapan di akaun Twitternya @fahmirusliMFR berikut:
Sudah tentunya umat Islam di Malaysia juga akan berlumba-lumba untuk melipatgandakan lagi amal ibadat di 10 malam terakhir ini di samping mencari malam Lailatul Qadar yang dinyatakan sebagai lebih baik dari 1000 bulan atau 83 tahun tersebut.
Dikongsikan di laman Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan beberapa kaedah dan formula untuk menentukan malam Lailatul Qadar yang digunakan oleh para ulama selama ini.
Semoga kita sama-sama dapat menemui Malam Kemuliaan yang penuh keberkatan ini. Insya-Allah.
Kaedah Mencari Malam Lailatul Qadar (Ya Allah Kurniakan Kami Nikmat Lailatul Qadar)
Ulama berselisih pendapat tentang bilakah berlakunya Lailatul Qadar. Di dalam Kitab Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari menyebutkan ada 46 pendapat ulama berhubung bilakah berlakunya Lailatul Qadar. Ada yang menyatakan ianya berlaku setiap 7 tahun sekali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muhammad bin al-Hanifah, ada yang menyatakan ianya berlaku pada setiap bulan, ada yang menyatakan ianya berlaku pada awal Ramadan, sebahagian lagi mengatakan ianya berlaku pada setengah bulan Ramadan yang kedua, ada mengatakan ianya berlaku pada malam ke-17 Ramadan dan jumhur mengatakan ianya berlaku pada 10 malam yang terakhir bulan Ramadan.
Imam Syafie mengatakan Lailatul Qadar itu terkandung dalam 10 hari yang terakhir Ramadan pada malam yang ganjil iaitu malam ke 21 dan malam ke 23.
Formula Ulama Tafsir Yang Semasa,
Lailatul Qadar berlaku pada malam ke 27 Ramadan. Hal ini berdasarkan kepada 2 perkara dalam Surah al-Qadr iaitu:
i Allah mengulang-ulangkan perkataan لَيْلَةُ القَدْرِ ( ) pada 3 tempat dan perkataan ( لَيْلَةُ القَدْرِ ) terdapat 9 huruf. Sehubungan dengan itu 3 x 9 = 27.
ii Surah al-Qadr mengandungi 30 patah perkataan. Perkataan هِيَ pada ayat yang terakhir surah ini berada di kedudukan yang ke 27.
Formula Imam Ghazali,
Malam Lailatul Qadar ditentukan berdasarkan bilakah hari awal Ramadan itu jatuh.
Bil 1 Ramadan Lailatul Qadar
1 Isnin Malam 21 Ramadan
2 Sabtu Malam 23 Ramadan
3 Khamis Malam 25 Ramadan
4 Selasa/Jumaat Malam 27 Ramadan
5 Ahad/Rabu Malam 29 Ramadan
Justeru, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad menyatakan hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadar secara yakin adalah supaya kita sentiasa melakukan ibadah kepada Allah pada setiap malam dalam bulan Ramadan khususnya pada 10 malam yang terakhir. Sabda Nabi S.A.W,
فَالتَـمِسُوهَا فِى العَشْرِ الأَوَاخِرِ فِى الوِتْرِ
Yang bermaksud, Maka kamu carilah ia (Lailatul Qadar) pada 10 malam terakhir (bulan Ramadan) iaitu pada malam yang ganjil.
Rujukan
Al-Nafahat al-Nuraniyah fi Fadhail al-Ayyam wa al-Layali wa al-Syuhur al-Qomariyah, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad, Matba’ah Nadhr, 2001, bab Lailatul Qadr hlmn 201.
Fath al-Bari bi Syarh Sohih al-Bukhari, al-Hafiz Ahmad bin Ali bin hajar al-Asqolani, Dar al-Fikr, 1996, Kitab Fadl Lailatul Qadr, Jld 4, 786
Sumber: Twitter Muhammad Fahmi @fahmirusliMFR, Facebook Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan