Tun M Pemangku Menteri Pendidikan

Kabinet Putuskan Tun Mahathir Sebagai Pemangku Menteri Pendidikan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kabinet pada Rabu telah memutuskan pemangku bagi jawatan Menteri Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan minggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada hari ini memaklumkan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memangku jawatan tersebut sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik.

“Berikutan dengan kekosongan jawatan Menteri Pendidikan baru-baru ini, Jemaah Menteri pada 8 Januari telah bersetuju agar jawatan tersebut dipangku sementara oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Keputusan ini berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 dan Dr Mahathir akan memangku jawatan tersebut sehingga Menteri Pendidikan yang baharu dilantik,” memetik kenyataan itu.

Tun M Pemangku Menteri Pendidikan

Jawatan tersebut kosong apabila Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan itu pada 2 Januari lalu.

Maszlee berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir pada pertemuan, hari yang sama.

Selepas mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan pada Mei 2018, Dr Mahathir pernah menyatakan hasrat untuk menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak tercapai apabila ia bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan yang menghalang Perdana Menteri memegang portfolio lain.

Sumber: Awani