
Juruterbang Kongsi Pengalaman Terkandas Sendirian Dalam Hutan Amazon Selama 38 Hari
Juruterbang Terkandas Sendirian Dalam Hutan Amazon Selama 38 Hari Selepas Pesawat Terhempas.
Bayangkan pesawat yang dinaiki anda terhempas di tengah hutan belantara dan hanya anda seorang sahaja di situ mengharapkan pasukan penyelamat menjumpai anda.
Persoalannya, berapa lamakah anda mampu bertahan hidup di kawasan yang jauh dengan kepesatan pembangunan dengan bekalan yang terhad?
Itulah yang dialami seorang juruterbang Brazil, terpaksa mengharungi hidup selama 38 hari di hutan hujan Amazon selepas enjin pesawat ringan yang dipandunya terhenti secara tiba-tiba.
Kejadian itu berlaku pada 28 Januari 2021 ketika Antonio Sena ditugaskan memandu pesawat Cessna 210 membawa kargo dari Alenquer ke lombong emas haram di dalam hutan itu.
Ketika kejadian, dia sedang terbang pada ketinggian 1,000 meter sebelum dia mendapati enjin pesawat terhenti. Namun dia berjaya mengawal pesawat itu sebaik mungkin dan mendarat di sebuah lembah hutan hujan terbesar di dunia itu.
Sena kemudian mengambil beberapa barang seperti petrol, beg galas, tiga botol air, empat minuman ringan, sebungkus roti, tali, alat kecemasan, lampu dan dua pemetik api sebelum pesawat itu meletup.
Dia pada awalnya menunggu pasukan penyelamat mencarinya, tetapi hari berganti hari, minggu berganti minggu pasukan penyelamat tidak kunjung tiba.
“Saya sangat kecewa dan rasa seperti tidak boleh keluar dan akan mati,” katanya.
Namun, dalam masa yang sama Sena cuba menggunakan telefon untuk mencari GPS dan memutuskan untuk terus berjalan sambil melakukan beberapa tindakan menyelamat yang diingatinya.
“Saya berjalan ke arah timur, menuju Matahari dan saya berjalan setiap pagi selama dua hingga empat jam,” ujarnya yang menggunakan segala ilmu yang dipelajari semasa menghadiri kursus survival beberapa tahun lalu.
“Saya tidak mempunyai air, tidak mempunyai makanan. Saya terdedah kepada bahaya dan haiwan buas seperti jaguar, buaya dan ular anaconda,” katanya.
Pengalaman terkandas membuka mata Sena tentang hutan
Untuk kekal bertahan dalam hutan, dia meniru apa yang monyet makan dan menikmati tiga telur burung adalah satu-satunya sumber protein yang dia berjaya peroleh.
Sena juga mendedahkan, itulah pertama kali dia melihat hutan hujan yang belum disentuh dan mendapati Amazon bukanlah satu-satu hutan hujan, tetapi terdapat kira-kira lima hutan di dalamnya.
Pandemik memaksa Sena cari kerjaya lain untuk sara hidup
Sebelum ini, Sena seorang juruterbang berpengalaman, membuka restoran di kampung halamannya beberapa tahun yang lalu, namun disebabkan COVID-19, ia terpaksa ditutup.
Tiada pilihan dalam mendapatkan wang, beliau terpaksa melakukan pekerjaan menghantar kargo ke perlombongan haram itu demi menyara keluarganya.
Sena telah berjalan sejauh 28 km dan pada masa sama berat badannya susut sebanyak 25kg.
Pada hari ke-35, Sena terdengar bunyi seperti gergaji dan akhirnya berjumpa kem pengumpul kacang Brazil yang diketuai Maria Jorge dos Santos Tavares.
Di sebalik insiden yang terjadi itu, banyak hikmah yang dia pelajari.
“Saya bekerja untuk kumpulan yang merosakkan alam bagi mengaut keuntungan namun saya diselamatkan oleh mereka yang hidup secara harmoni dengan alam – ia sesuatu yang luar biasa dan membuka mata saya.
“Saya tidak akan bekerja untuk syarikat lombong haram lagi,” katanya.
Sumber: CNA