
Jurucakap Hotel Ronaldo Nafi Bangunan Jadi Hospital Rawat Pesakit COVID-19
Beberapa hari lalu, dunia kecoh mengenai berita dua buah hotel kepunyaan Cristiano Ronaldo di Portugal, Hotel Pestana CR7 akan ditukarkan menjadi hospital sebagai langkah membantu mencegah dan merawat wabak koronavirus atau COVID-19.
Dalam sumber itu juga dinyatakan bahawa Ronaldo sanggup membayar semua gaji kakitangan perubatan dan kesemua pesakit yang datang akan dirawat dengan percuma.
Kenyataan itu kemudiannya disangkal sendiri oleh jurucakap Hotel Pestana CR7 selepas salah satu daripada media Belanda menghubungi sendiri pihak berkenaan.

Terdahulu, Ronaldo dikatakan sedang menjalani kuarantin bersama keluarganya dengan membeli sebuah pulau selepas salah seorang daripada rakan sepasukannya disahkan positif COVID-19 dan beliau masih belum memberikan respon terhadap berita palsu ini.
BACA: Cristiano Ronaldo Kuarantin Bersama Keluarga Dengan Beli Sebuah Pulau
Itali merupakan negara Eropah dengan nilai tertinggi kes dicatatkan iaitu sebanyak 27,980 dengan angka kematian seramai 2,158 orang. Daripada jumlah berkenaan, hanya 2,749 dilaporkan sudah sembuh manakala 1,851 berada dalam keadaan kritikal.
Sudah merebak ke seluruh dunia, banyak negara sudah mula menutup pintu sempadan mereka daripada dimasuki orang luar.
BACA: ‘LockDown’: Ini Yang Akan Berlaku Jika Sebuah Negara Kuat Kuasa Perintah Berkurung
Di Malaysia sendiri, bermula esok Perintah Kawalan Pergerakan sudah dikuatkuasakan sehingga 31 Mac ini dengan enam ‘perintah’ iaitu:
1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.
Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.
2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self-quarantine) selama 14 hari.
3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.
4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.
5. Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.
6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.
Malaysia setakat ini sudah mencatatkan 673 kes dengan kadar kematian sebanyak dua, manakala 49 yang lain sudah disahkan sembuh dan jumlah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi adalah 10 orang.
Sumber: VTBL
Trending now



