
Jumlah Tempahan Cecah 200 Ribu, Lelaki Ini Kongsi Teknik Pemasaran Jualan Tesla Cybertruck
Baru-baru ini Tesla telah melancarkan trak pertama mereka dengan nama Cybertruck. Ia merupakan kenderaan trak elektrik pertama yang turut mempunyai rekaan unik dengan ciri-ciri menarik.
Meskipun mendapat pelbagai komen dan menjadi ‘bahan’ ketawa di media sosial kerana ketika acara demo, cermin Cybertruck retak teruk sedangkan Elon Musk berkata bahawa kaca yang digunakan lebih tahan lasak berbanding cermin kenderaan semasa.
Namun, Elon Musk telah mengumumkan bahawa sebanyak 146 ribu unit Cybertruck telah ditempah. Setiap tempahan sebuah kenderaan tersebut hanya memerlukan wang pendahuluan sebanyak $100, dan setakat ini, sekitar 200 ribu unit telah dipra-tempah.
Apa yang mengagumkan, kejayaan ini diperoleh dengan ‘kos sifar’ untuk pemasaran gara-gara kekecohan tentang cermin trak yang retak itu. Tidak dinafikan, pemasaran sebegini telah mencapai sasarannya.
Seorang pengguna Facebook, Jonathan Quek berkongsi pendapat yang kita boleh peroleh melalui strategi pemasaran Elon Musk. Menurut Quek, beliau mendapat dua pengajaran melalui acara demo Tesla Cybertruck.
Pengajaran 1 – Ada idea? Jual dahulu, bina kemudian
Biasanya syarikat pengeluar kereta perlu menghasilkan inventori mereka tersendiri dan turut mengeluarkan modal untuk mengiklankan produk mereka dan risikonya tidak dapat mengetahui sama ada produk yang dipasarkan laku atau tidak. Namun, berbeza dengan Tesla yang hanya menggunakan strategi pra tempah tanpa perlu ada inventori.
Hal terbaik mengenai model ini bukan sahaja mewujudkan pengesahan pasaran, ia juga memberi aliran tunai untuk membangunkan produk yang membantu dalam unjuran kewangan.
Kesimpulannya, perlu ingat bahawa dalam perniagaan, anda perlu memasarkan apa yang mereka mahu dan mereka akan memberikan apa yang anda perlukan.
Pengajaran 2 – Tetapkan pendirian
“Ketika saya menunjukkan Cybertruck kepada teman wanita, dia membalas tidak akan membelinya kerana ia kelihatan terlalu futuristik. Ia tidak kelihatan seperti trak tipikal.”
Kata Quek, mereka seperti teman wanitanya bukanlah sasaran pasaran tetapi bagi mereka yang meminati reka bentuk produk futuristik sepertinya. Tesla Cybertruck pastinya suatu produk yang bukanlah untuk dimiliki semua orang.
Jenis perniagaan paling teruk adalah apabila usahawan ditanya kepada siapa pelanggan sasarannya dan mereka menjawab, “semua orang”. Benar tetapi pahit, apabila anda cuba untuk memberi perkhidmatan kepada semua orang tetapi sebenarnya tidak.
Ketahuilah, dalam apa jua yang anda buat pasti ada yang menyukai dan disebaliknya. Tetapi, fokuskan cara bagaimana untuk meningkatkan kualiti produk kerana ada pembelinya.
“Sementara yang lain mengejek Elon Musk kerana demo pelancaran itu, saya mencatat nota dan mengkaji strategi pemasaran dan model perniagaan baharu daripada Elon Musk.”

Sumber: FB Jonathan Quek