Jumlah Kenderaan Melebihi Populasi Penduduk Malaysia

Jumlah Kenderaan Mengatasi Populasi Penduduk Di Malaysia Buat Pertama Kali

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi populasi penduduk susulan permintaan terhadap kenderaan bermotor meningkat lebih sejuta setiap tahun sejak 2019.

Perkara itu didedahkan oleh pakar keselamatan jalan raya, Dr Kulanthayan K.C Mani dari Universiti Putra Malaysia.

Pada tahun 2021, terdapat 33.3 juta kenderaan berdaftar telah direkodkan sekaligus mengatasi populasi penduduk di negara ini yang mencecah kepada 32.6 juta.

Daripada 33.3 juta yang didaftarkan, 47.3 peratus daripadanya adalah kereta, manakala 46.6 peratus adalah motosikal, diikuti 4.7 peratus bagi kenderaan barangan.

Angka ini memperlihatkan punca utama kesesakan trafik di bandar dan jalan-jalan utama.

Sejak bulan lalu, kesesakan trafik semakin memburuk di Lembah Klang tanpa mengira waktu, cuaca atau keadaan jalan.

Di pusat bandar Kuala Lumpur sahaja, kesesakan yang dahulu dikaitkan dengan pekerja pulang ke rumah, namun kini berlaku sepanjang hari menyebabkan pemandu terperangkap dalam perjalanan walaupun telah merancangnya.

Kerja Jalan Raya Sesak

Ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, rata-rata pengguna jalan raya turut mengadu sangkut lebih berjam-jam gara-gara kesesakan jalan menghala ke Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Jelas Dr Kulanthayan, penilaian yang dibuat terhadap peningkatan pendaftaran kerenderaan baharu sejak beberapa tahun ini sehingga 2021 dipercayai menjadi antara penyumbang besar terhadap kesesakan jalan yang berlaku.

“Apa yang mengejutkan, jumlah kenderaan pada 2019 berada pada 31.2 juta namun meningkat sejuta setiap tahun dan mencapai 33.3 juta pada 2021.

“Buat pertama kalinya, jumlah kenderaan di Malaysia telah mengatasi jumlah penduduk negara ini,” ujarnya.

Jumlah Kenderaan Melebihi Populasi Penduduk Malaysia

Katanya, jika trend ini berterusan setiap tahun, berkemungkinan negara ini menghadapi kesesakan lalu lintas yang lebih dahsyat.

Justeru, Dr Kulanthayan menggesa kerajaan meneliti semula cadangan untuk membina lebuh raya atau menambah jumlah lorong kerana ia masih tidak mampu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Langkah utama yang perlu kerajaan lakukan adalah mengalihkan perhatian dan melabur dalam sistem pengangkutan awam.

“Tidak dinafikan, ramai yang merungut mengenai pengangkutan awam tetapi kita mesti faham tentang faedahnya dari segi keselamatan. Juga dapat membebaskan diri daripada tekanan memandu serta masalah mencari tempat letak kereta,” katanya.

BACA: Isu Kesesakan Trafik Di Lembah Klang, Ini Cara 7 Bandar Utama Dunia Selesaikan Masalah

Sumber: NST