
Jumlah Kematian Melonjak Melepasi 14,000, 1 Bilion Penduduk Dunia Terpaksa Berkurung
Hampir satu bilion penduduk di serata dunia terpaksa berkurung dalam rumah masing-masing, ketika jumlah korban COVID-19 kini melonjak kepada 14,000.
Itali yang mencatat kematian tertinggi di dunia mengarahkan semua perniagaan mesti ditutup hingga 3 April depan. Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada operasi yang penting untuk mengekalkan rantaian bekalan barangan keperluan di negara ini.
Selain Itali, penduduk di 35 negara terpaksa berkurung dalam rumah termasuklah di negara kita.
Bagi bandar negara maju yang sentiasa sibuk, kini terpaksa menyesuaikan kehidupan harian mereka dengan pelbagai fasa perintah berkurung, termasuk di New York, Los Angeles dan Chicago yang juga bandar berpenduduk paling padat, malah lebih banyak lagi negeri dijangka mengambil langkah meningkatkan sekatan.

Lebih 300,000 jangkitan disahkan di seluruh dunia.
Para pemimpin dunia berikrar untuk memerangi pandemik itu jumlah kematian dan jangkitan terus meningkat terutamanya di Eropah yang kini menjadi pusat penyebaran virus korona baharu itu.
COVID-19 kini meragut 14,654 nyawa di seluruh dunia dengan Itali yang paling terkesan dengan wabak itu merekodkan hampir 800 korban dalam tempoh sehari dan menjadikan jumlahnya melepasi 5,000 mangsa di negara itu, manakala Sepanyol melaporkan peningkatan 32 peratus kes kematian baru.
Jumlah kematian di Perancis yang meningkat memutuskan pegawai polis di sana untuk menggunakan dron dan helikopter bagi membantu usaha kerajaan memastikan orang ramai tidak keluar rumah.
COVID-19 juga sudah menjangkiti lebih 1,000 orang di merata Afrika, di mana sistem penjagaan kesihatannya adalah terhad dan langkah melaksanakan jarak sosial selamat amat sukar diamalkan di bandar-bandar yang sesak.
Timur Tengah juga terus berada pada tahap berwaspada. Namun, Iran yang paling terjejas teruk dan melaporkan 123 kematian pada hari Sabtu enggan mengenakan sekatan yang ketat.
Jika penguatkuasaan sehingga 31 Mac ini gagal mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mungkin berlanjutan dua bulan lagi.
Pakar virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar, tidak menolak kemungkinan itu jika rakyat terus berdegil mengingkari PKP, mengabaikan pelaksanaan penjarakkan sosial serta tidak mengutamakan amalan batuk dan kebersihan yang baik.
Sumber: BH