
Jualan Rendah Punca Dua MARA Digital Mall Ini Tutup
Operasi Mara Digital Mall di dua buah negeri iaitu di Kuantan dan Johor Bahru telah dihentikan memandangkan kadar juaan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi perniagaan.
Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen menjelaskan kadar jualan yang rendah dan tidak setimpal dengan kos operasi yang dikeluarkan menyebabkan penyewa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi di premis itu.
Penutupan operasi Mara Digital Kuantan pada Disember 2018 dan Mara Digital Johor Bahru pada Februari 2019. Setakat ini, KPLB berkata Mara Digital Menara Mara Kuala Lumpur masih beroperasi dengan 11 lot dan 16 kiosk melibatkan 11 orang usahawan.

Menurut kementerian, Mara Digital Shah Alam dihentikan operasi pada Mac 2018 yang lalu bagi kerja-kerja menaik taraf premis berkenaan kepada Pusat Transformasi Bandar (UTC) Shah Alam.
UTC Shah Alam beroperasi semula pada 15 Ogos 2018 dan Mara Digital tidak lagi diteruskan, sebaliknya hanya menjalankan perniagaan berkonsepkan ICT menggunakan kiosk sahaja, katanya.
KPLB menambah sekiranya terdapat keperluan pembukaan Mara Digital, Mara akan membuat kajian terperinci serta analisis kajian kemungkinan bagi memastikan ia dapat memberi manfaat kepada usahawan ICT yang terlibat.
Sebelum ini, menerusi tinjauan wartawan FMT di Mara Digital Mall Kuala Lumpur mendapati sambutan pengunjung di sana tidak cukup memberangsangkan walaupun kempen Buy Muslim First mendapat sambutan ketika itu.
Sumber: FMT, The Edge Markets