RM1

Jual Makanan Pada Harga RM1 Sejak 2016, Peniaga Ini Tak Kisah Untung Hanya Sikit

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wartawan Hazelen Liana Kamarudin dari Sinar Harian melaporkan, seorang peniaga kedai makan di daerah Machang, Kelantan masih lagi sanggup menjual harga makanan pada harga RM1!

Aminah Awang, 55, peniaga di sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Kak Tie Mee Celup Dua Amah di Kampung Pek, Machang didapati masih mengekalkan harga RM1 bagi setiap jenis menu sejak tahun 2016 lagi.

Antara hidangan yang diletakkan harga RM1 tersebut ialah seperti bubur nasi, mi, bihun dan kuetiau celup serta aneka jenis sosej dan juga minuman.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai ‘Kak Tie’ di kalangan pelanggannya itu, peningkatan kos harga barang bukanlah penghalang baginya untuk meneruskan perniagaan pada harga tersebut.

“Ramai pelanggan yang minta saya naikkan harga sekitar 50 sen kerana mereka faham situasi sekarang.

“Tetapi bagi saya selagi masih ada untung, walaupun kecil ia tetap rezeki,” ujarnya merendah diri.

Kak Tie yang merupakan ibu kepada lima orang anak turut memberitahu, dia pernah melalui saat-saat getir apabila kos bahan utama pernah naik sebelum ini.

Harga sawi menurutnya sebelum ini hanya RM5 sekilogram tetapi sudah naik sehingga mencecah RM20 sekilogram.

Selain itu, peningkatan harga ayam segar dan telur ketika ini juga dilihat sebagai satu cabaran buat dirinya.

Ini memaksanya menggantikan bahan mentah itu dengan bebola daging bagi melengkapkan hidangan.

“Semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan perniagaan dan mengekalkan harga tersebut.

“Tujuan berniaga, selain untung, saya ingin melihat penduduk di sini dapat menikmati hidangan tanpa rasa terbeban. Terutama pelajar-pelajar sekolah,” ujarnya.

Setiap hari, Kak Tie gigih menguruskan kedai makannya tersebut yang dibuka pada jam 12 tengah hari hingga 6.30 petang sambil dibantu oleh anak-anaknya yang lain.

Dia ternyata merasa puas dan gembira setiap kali melihat ada pelanggan yang datang untuk menikmati hidangan berharga RM1 yang dijualnya di kedai makannya itu.

RM1

BACA: Ramai Mengeluh ‘Sales’ Menjunam Teruk, Benarkah Semua Bisnes Kini Sedang Tenat?

Sumber: Sinar Harian