Johor Paling Tinggi Kanak Kanak Hilang 3

Johor Catat Kes Kehilangan Kanak-Kanak Dan Remaja Paling Tinggi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak 2011 sebanyak 15,042 jumlah kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang dilaporkan. Namun hanya 14,679 kes (97.6%) yang berjaya ditemui, manakala sebanyak 26 kes ditemui meninggal dunia dan 363 kes belum ditemui.

Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini dikira bermula daripada tahun 2011 sehingga Mei 2019.

Negeri yang mencatatkan kes kehilangan paling tinggi adalah di Johor (2,372), diikuti Selangor (1,911), Kedah (1,526), Kuala Lumpur (1,262) dan Negeri Sembilan (1,054).

Berdasarkan laporan, pihak PDRM mendapati terdapat 5 punca utama berlakunya kes ini, iaitu:

  • 7,159 kes – Mencari kebebasan diri daripada dibelenggu keluarga
  • 3,167 kes – Mengikut atau terpengaruh dengan ajakan rakan
  • 2,252 kes – Dipengaruhi oleh kekasih untuk lari daripada rumah
  • 1,523 kes – Pertelingkahan dengan keluarga serta kurang perhatian keluarga
  • 577 kes – Tidak minat menyambung pelajaran dan mahu mencari kerja

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman sebanyak 33 kes penculikan kanak-kanak untuk tebusan direkodkan dalam tempoh 10 tahun bermula 2008 hingga 2018.

Johor Paling Tinggi Kanak Kanak Hilang

Daripada jumlah tersebut, 27 kes dapat diselesaikan dengan 90 tangkapan. Namun hasil siasatan mendapati bahawa tiada sindiket penjualan kanak-kanak untuk pengambilan organ dilaporkan seperti yang tular di media sosial.

3 Julai lalu, kes kehilangan kanak-kanak dan remaja ini telah dibangkitkan di Dewan Rakyat. Menurut Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa kes kehilangan kanak-kanak ini kebanyakannya berpunca daripada masalah dalaman keluarga serta pengaruh rakan sebaya.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan termasuklah penyediaan talian Nur Alert 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari/7 hari seminggu/365 hari setahun bagi menyebarkan maklumat secepat mungkin bagi membantu dalam mengesan kanak-kanak yang hilang.