
“…Jikalau Dalam Perang Sekalipun Dilarang Untuk Mencederakan Muka…”
Video tular di media sosial yang memaparkan jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun (B-14) yang menampar dua pemainnya didapati masih lagi belum dapat meredakan kemarahan orang ramai.
Jurulatih itu dilihat masih lagi dikecam ‘berjemaah’ oleh rata-rata netizen meskipun kedua-dua pihak terlibat khabarnya telah menyelesaikan perkara tersebut secara baik.
Pendakwah bebas dan aktivis sosial terkemuka, Firdaus Wong Wai Hung – Official turut memandang serius perkara ini dengan membuat hantaran berikut di Facebooknya.
Jom sama-sama kita lihat apa sebenarnya pandangan dari sudut Islam dalam keganasan yang melibatkan perbuatan keji mencederakan bahagian muka seperti ini.
“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka.”
[HR al-Bukhari (2559) & Muslim (6817)]
Imam al-Son’ani menyebut:
“Hadis ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad).”
(Lihat Subul al-Salam, 7/161)
Bayangkan, jikalau dalam perang sekalipun dilarang untuk mencederakan muka, apatah lagi bukan dalam keadaan perang!
Jikalau musuh dalam perang tidak boleh dicederakan di muka, bagaimana dengan mereka yang memukul anak, isteri, suami dan anak murid di muka?
Yang haram tetap haram.. Islam agama yang bersyariat maka hiduplah dengan syariat Islam. Jangan cari alasan melanggar syariat Islam tetapi carilah sebab untuk menundukkan hawa nafsu dan ego mematuhi syariat Islam.
BACA: Hukum Menampar Muka Orang Dari Sudut Islam
Sumber: Firdaus Wong Wai Hung – Official