
Jho Low Disebut Berparti Bagai ‘Tiada Hari Esok’, Habis Berjuta Untuk DiCaprio, Megan Fox
Ahli perniagaan yang masih dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa telah menghabiskan jutaan ringgit semata untuk berparti bersama beberapa selebriti terkenal.
Memetik sumber Awani, sejumlah AS$250,000 (RM1.046 juta) dilaporkan telah dibelanjakan untuk Leonardo DiCaprio, selain perbelanjaan hiburan mencecah sehingga AS$385,773 (RM1.616 juta) dan AS$5,000 (RM20,926) dihabiskan untuk model-model terkenal.
Ia adalah butiran perbelanjaan yang dibacakan pihak pendakwaan dalam sesi perbincangan melibatkan bekas Ketua Pelaburan Perbankan Goldman Sachs, Roger Ng.
Seorang saksi kerajaan memberitahu mahkamah bagaimana berjuta-juta dolar yang diseleweng hasil skandal 1MDB telah dibelanjakan termasuk untuk berparti mewah yang dibiayai Jho Low.
BACA: RM48 Juta Milik Bapa Jho Low Kini Jadi Hak Kerajaan Malaysia
Majlis keraian tersebut didakwa menelan belanja lebih AS$3.6 juta (RM15.67 juta) termasuk 65 botol minuman keras Cristal Champagne dengan harga kira-kira AS$100,000 (RM418,530) dan tip kepada pelayan bar sehingga AS$38,955 (RM163,038).
Selain itu, pihak pendakwa raya mendakwa sejumlah wang turut dibelanjakan kepada selebriti terkenal iaitu DiCaprio: AS$250,000, Paris Hilton: AS$100,000, Megan Fox: AS$250,000 dan Kim Kardashian: AS$50,000.
Panel juri menggambarkan Jho Low berpesta bagai ‘tiada hari esok’, mengikut keterangan daripada syarikat hiburan dan pemasaran yang mengatur parti untuknya.
Difahamkan, Roger Ng dibicarakan di Mahkamah Persekutuan Brooklyn di atas dakwaan bersubahat melanggar undang-undang antipengubahan wang haram Amerika Syarikat (AS) yang melibatkan bilion dolar dana 1MDB.
Sementara Jho Low yang didakwa bersama Ng pada 2018 masih belum ditahan pihak berkuasa AS atau Malaysia.
Sumber: Awani