Ganja Jerman

Jerman Pun ‘Join Sekali’, Ganja Untuk Tujuan Rekreasi Semakin Diterima Seluruh Dunia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Rakyat Jerman tidak lama lagi akan dibenarkan memiliki sehingga 30 gram ganja untuk penggunaan persendirian, manakala premis perniagaan dan farmasi berlesen juga turut dibenarkan untuk menjual bahan tersebut bagi tujuan rekreasi.

Kerajaan gabungan Jerman sebelum ini telah mencapai persetujuan untuk meneruskan rancangan tersebut yang membenarkan penggunaan ganja dalam kalangan orang dewasa di negara itu.

Walau bagaimanapun, rancangan itu masih belum mendapat kelulusan Parlimen, tetapi sudah menerima ‘lampu hijau’ daripada Suruhanjaya Eropah.

Menurut Menteri Kesihatan Jerman, Karl Lauterbach, rancangan itu bakal berkuatkuasa menjadi undang-undang pada tahun 2024.

Manifesto kerajaan gabungan yang diwakili oleh Social Democrats (SPD) dengan Greens dan Free Democrats juga turut merancang untuk membenarkan penanaman tiga tanaman ganja di rumah bagi setiap individu dewasa.

Hanya Malta yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi di Kesatuan Eropah (EU) setakat ini.

Belanda pula masih enggan mengikut jejak langkah Jerman, sebaliknya hanya membenarkan penjualan ganja dalam kuantiti kecil di kafe sahaja.

Negara lain seperti Kanada dan Uruguay juga sebelum ini telah membenarkan ganja untuk tujuan rekreasi manakala di Amerika Syarikat, sebanyak 37 negeri termasuk Washington membenarkan ganja bagi tujuan perubatan, manakala 19 negeri lagi meluluskan penggunaan bahan tersebut untuk rekreasi.

Ganja Jerman

BACA: Lawatan Sambil Belajar KJ Ke Thailand, Khabar Gembira Kini Menanti Buat ‘Mat Ganja’?

Sumber: Utusan Malaysia