
Jenis-Jenis Makanan Yang Boleh Menyebabkan Rasa Pening
Banyak faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu sakit kepala atau rasa pening termasuklah faktor psikologi dan persekitaran.
Makanan juga sebenarnya merupakan salah satu sebab kenapa sesetengah individu boleh menjadi pening selepas menikmatinya.
Dr Zubaidi Hj Ahmad telah membuat perkongsian berikut di Facebooknya untuk dimanfaatkan kepada orang ramai berkenaan pengambilan jenis-jenis makanan yang boleh menyebabkan rasa pening.
MAKANAN YANG BOLEH MENYEBABKAN PENING
Pening adalah perasaan yang merasakan bahawa dunia sedang bergerak mengelilingi kita. Ramai pakar perubatan berpendapat bahawa ia disebabkan oleh ketidakseimbangan cecair dalam alat pengimbangan badan yang berada dalam telinga, jangkitan kuman sehingga menyebabkan keradangan dalam telinga, serangan migrain atau dalam kes-kes yang jarang berlaku, ia adalah tanda awal bagi pendarahan otak, penyakit multiple sclerosis atau serangan strok.
Kandungan gula dalam darah yang rendah (hypoglycaemia) juga boleh menyebabkan pening.
Malah makanan tertentu juga boleh menyebabkan rasa pening bagi sesetengah individu. Antaranya ialah:
- MAKANAN MASIN
Garam yang banyak dalam makanan yang dimasukkan ke dalam hidangan sup sayur-sayuran, makanan beku, kentang goreng, keropok, sos tomato, daging sejuk, sosej, daging dan keju dalam tin boleh mengganggu keseimbangan cecair dalam sistem pengimbangan badan.
- GULA BERLEBIHAN
Gula yang berlebihan ditambah dalam makanan yang dijual secara komersial dan minuman seperti minuman ringan berkarbonat, gula-gula, coklat susu, jeli dan jem untuk disapukan ke roti, kek dan roti yang ditambah gula di atasnya juga boleh menyebabkan rasa pening bagi sesetengah individu.
- MAKANAN YANG MENCETUSKAN MIGRAINE
Bagi individu yang sedia mengalami migraine, mereka sangat sensitif terhadap makanan tertentu. Makanan yang menyebabkan migraine juga boleh menyebabkan mereka merasa pening. Bagi mereka yang sering mengalami migraine dinasihatkan agar mencatatkan jenis makanan yang mencetuskan sakit kepala dan pening, kerana setiap individu yang mempunyai penyakit migraine mempunyai makanan tertentu yang berbeza.
- KAFEIN DAN ALKOHOL
Walaupun kafein dapat dinikmati oleh ramai orang, sebahagian individu yang sensitif terhadap kafein akan merasa sakit kepala dan pening. Kafein diketahui menyebabkan kita kehilangan banyak air, secara tidak langsung mengubah keseimbangan cecair dalam organ pengimbang dalam telinga. Minuman beralkohol pula secara langsung memberikan kesan negatif dan menyebabkan pening.
#HealthDrZubaidi
www.drzubaidi.com
Ikuti perkongsian pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan.
https://t.me/PerkongsianDrZubaidiHjAhmad
BACA: Mukbang Boleh Mendatangkan Bahaya Dan Memudaratkan – Doktor
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad