Jenazah COVID-19 Muslim Dibakar Sri Lanka

Jenazah Pesakit COVID-19 Umat Islam Dibakar, Cetus Ketegangan Di Sri Lanka

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pembakaran 15 jenazah pesakit beragama islam termasuk bayi berusia 20 hari yang didakwa mangsa wabak COVID-19 di Sri Lanka mencetuskan ketegangan umat Islam di seluruh dunia kerana tindakan itu dianggap telah mencabul hak beragama.

Pihak Berkuasa Kesihatan Sri Lanka yang majoritinya beragama Buddha menegaskan semua mangsa COVID-19 mesti dibakar walaupun mereka adalah Islam.

Perintah yang dikeluarkan April lalu serentak dengan kenyataan oleh sami Buddha berpengaruh yang mendakwa menanam mayat boleh mencemarkan air bawah tanah serta menyebabkan virus merebak.

Ia selepas 19 keluarga orang Islam menolak untuk menuntut mayat keluarga mereka dari bilik mayat di Colombo pada minggu lalu, Peguam Negara memutuskan supaya semua jenazah dibakar.

Namun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan mayat mangsa wabak itu boleh dibakar atau dikebumikan dengan pengawasan ketat.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu bertindak membakar seorang jenazah bayi berusia 20 hari di pusat pembakaran walaupun tidak mendapat kebenaran pihak keluarga.

“Pihak hospital memaklumkan bahawa anak kami positif COVID-19 hasil daripada ujian antigen yang ‘memaksa kami bersetuju dengan proses pembakaran jenazah.

“Sudahlah kami kehilangan anak, sekarang dikejutkan dengan berita pembakaran jenazah yang bertentangan dengan ajaran agama kami.

“Lebih malang permintaan kami untuk membuat ujian PCR tidak dilayan,” kata bapa bayi kepada agensi berita luar.

Dia turut berasa curiga mengapa mereka (pihak hospital) seperti tergesa-gesa mahu melakukan prosedur pembakaran mayat mangsa COVID-19 yang biasanya ditempatkan di rumah mayat beberapa hari sebelum dibakar.

Jenazah COVID-19 Muslim Dibakar Sri Lanka

Bapa itu turut menafikan kenyataan doktor kepada media yang mendakwa kononnya dia tidak menuntut mayat bayinya.

Susulan itu, penduduk Islam yang menjadi kaum minoriti di negara itu dan kumpulan hak asasi mengemukakan 12 petisyen di mahkamah, bagi mencabar keputusan berkenaan. Bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah pada minggu lalu, tanpa sebarang alasan.

Orang awam mengikat riben putih di pintu pagar tanah perkuburan yang menempatkan pusat pembakaran berkenaan sebagai protes kepada penindasan secara terang-terangan namun telah ditanggalkan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Majlis Muslim Sri Lanka mendakwa, majoriti daripada mangsa COVID-19 di negara itu adalah orang Islam.

Majlis itu turut mendakwa ada antara orang Islam yang tidak mahu mendapatkan rawatan selepas disahkan positif virus itu kerana bimbang mayat mereka akan dibakar, sekiranya meninggal dunia.

Sumber: BH, SH