
Jenaka Sumbang Mahram, Bikin Konten Dahulu Baru Fikir Baik Buruk
Setelah lebih 2 tahun tidak dapat beraya dan berjumpa sanak saudara akibat penularan wabak pandemik COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akhirnya kita dapat bebas meraikan Aidilfitri pada tahun ini.
Namun, disebalik kemenangan kita menempuh cabaran bulan Ramadan, timbul isu sosial yang mula tular dikalangan masyarakat masa ini. Perkara ini diulas oleh Syaiful Izhan, bahawa terdapat trend anak muda masa kini yang membuat konten ‘Jenaka sumbang mahram‘.
Apakah maksudnya dan terukkah implikasinya nanti? Sama-sama kita ikuti penulisan beliau di bawah.
Incest Joke (Jenaka Sumbang Mahram) bukan perkara yang lawak.
Dahulu pernah viral sebuah channel Telegram yang terdiri dari mereka yang memiliki syahwat sesama adik beradik, anak saudara, ibu atau bapa tiri dan lain-lain. Kebanyakan mereka ini akan mengambil peluang untuk bertindak hodoh pada musim Hari Raya Aidilfitri.
Lebih 2 tahun kita dah tak dengar tentang perkara ini. Namun viral di Twitter seorang pengguna Tik Tok melakukan incest joke terhadap anak saudaranya. Selain itu, rata-rata pengguna yang lain juga memberikan komen yang jijik, bahkan ada yang menempelak kecaman yang ditujukan kepada si tukang upload.
Islam melarang keras perbuatan Sumbang Mahram dan perkara yang boleh menjadi penyebab terhadapnya. Terdapat riwayat yang disandarkan kepada Nabi ﷺ;
مَنْ وَقَعَ عَلَى ذَاتِ مَحْرَمٍ فَاقْتُلُوهُ
“Sesiapa yang menyetubuhi mahramnya, maka bunuhlah dia” (HR. ibn Majah: 2564).
Walaupun hadis ini da’if, namun perlaksanaan hukumannya digunakan oleh Mazhab Hanafi, Hanbali dan riwayat dari Ishak bin Rahawayh. Manakala, bagi Mazhab Syafi’ie dan Maliki, pelaku mestilah dikenakan hudud.
Justeru, hal ini menunjukkan Islam meletakkan hukuman yang keras terhadap pelaku-pelaku incest.
Di Malaysia, hukuman yang diperuntukan kepada pelaku sumbang mahram tertakluk di bawah peruntukan Akta (574) Seksyen (376B) Kanun Keseksaan, iaitu Hukuman bagi sumbang mahram;-
“Barangsiapa yang melakukan sumbang mahram hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun, dan hendaklah juga dikenakan sebatan”.
Kalian bapa-bapa dan adik beradik lelaki yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keluarga wanita kalian.
Jangan dicemari dengan perkara yang jijik seperti jenaka sumbang mahram yang terkutuk ini di dalam agama.
BACA: ‘Malu Dan Jijik Dengan Diri Kerana Rogol Anak Sendiri’ – Kisah Banduan Tertua Di Penjara Marang
Sumber: Syaiful Izhan