Kerajaan Cuti Sakit Haid

‘Jejas Kerja’ – Kerajaan Disyor Beri Cuti Khusus Kepada Wanita Sakit Haid

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Masalah sakit haid atau senggugut teruk menjadi mimpi ngeri sebahagian wanita pada setiap bulan. Ia sering menjadi keluhan kerana telah menganggu kerja-kerja seharian yang menjadi sebab mereka tidak pergi ke kerja.

BACA: Jenis-Jenis Punca Sakit Senggugut Yang Perlu Wanita Ambil Tahu

Dalam dunia pekerjaan pada hari ini, pelbagai insentif yang ditawarkan syarikat bagi meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan para pekerja.

Baru-baru ini, Sepanyol menawarkan cuti sakit haid kepada wanita yang mengalami senggugut ketika bekerja sekaligus menjadi negara Barat pertama yang mengimplementasi polisi tersebut.

Melihat peruntukan cuti tiga hari sebulan bagi wanita yang mengalami masalah itu, kerajaan Malaysia juga disyor menggubal undang-undang tersebut.

Menurut Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Haniza Mohamed Talha yang mengemukakan syor berkenaan, kesihatan haid menjadi topik yang enggan ditangani ramai penggubal dasar sejak sekian lama.

Sakit haid yang teruk akan menyebabkan sakit kepala, cirit-birit, pening, muntah, sakit di bahagian kaki atau pengsan, sekali gus tidak adil untuk mengharapkan pesakit menggunakan kuota cuti sakit (MC) tahunan mereka untuk keadaan yang mungkin berulang setiap bulan.

Kata Haniza, 86 peratus wanita mengalami sakit haid menerusi penyelidikan mengenai ‘dismenorea’ pada 2017.

“Dalam kalangan wanita yang mengalami sakit haid dan pernah bekerja, 81 peratus memaklumkan ia menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja,” katanya.

PBM akan mengemukakan pandangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM) supaya menubuhkan pasukan petugas untuk meneliti saranan itu dengan segera.

Kerajaan Cuti Sakit Haid

Tambahnya, cuti haid bukan sesuatu yang baharu, malah wanita di Indonesia yang mengalami sakit haid teruk boleh mengambil masa sehingga dua hari dalam sebulan untuk cuti.

Wanita tidak boleh didiskriminasi kerana fungsi biologi mereka.

Sebagai contoh, beberapa negara lain seperti Korea Selatan, Jepun dan Taiwan sudah mempunyai cuti haid.

Idea pemberian cuti haid ini tercetus sejak abad yang lalu di Rusia yang mana apabila wanita yang datang haid, mereka diberikan kebebasan daripada bekerja dalam usaha untuk melindungi kesihatan reproduktif.

Ia seterusnya dapat perhatian kesatuan pekerja di Jepun pada akhir 1920-an, akhirnya menjadi termaktub dalam undang-undang negara itu pada tahun 1947.

Sumber: Berita Harian