
JAWI Laksana Majlis Akad Nikah Dalam Talian Pertama Di Malaysia
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melaksanakan satu majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia.
Langkah ini diambil susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac hingga 28 April akan datang.
Dipisahkan oleh jarak dan hanya skrin menjadi ‘sesi pertemuan’ istiadat berkenaan, pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif berjaya disatukan menjadi suami isteri dengan sekali lafaz.
Pengantin perempuan berada di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa berjaya disatukan pada jam 10.10 pagi tadi.
Akad nikah yang diwalikan oleh bapa pengantin perempuan itu turut dihadiri saksi dan disaksikan Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.
Disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live Berita Al-Hijrah, majlis nikah dalam talian berkenaan selaras dengan ketetapan terbaharu JAWI yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperoleh Kebenaran Berkahwin daripada JAWI untuk dilaksanakan secara sidang media berdasarkan garis panduan dan borang permohonan yang ditetapkan.
Tonton video penuh majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia DI SINI.
Sebelum ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberitahu turut mengambil pendekatan yang sama bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di sana. Kementerian Keadilan UAE pasangan yang ingin berkahwin boleh memilih tarikh majlis selepas semua dokumen berkaitan diluluskan.