Pekerja Asing COVID-19

‘Jangan Tuduh Kami Punca Penularan COVID-19 Di Selayang’ – Luah Pekerja Asing

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketujuh iaitu di enam parcel di Selayang Baru, Gombak, Selangor bermula 25 April hingga 3 Mei dilaksanakan untuk membendung jangkitan COVID-19, setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan wabak itu di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sebahagian besar daripada penghuni di enam parcel yang dikenakan PKPD terbaharu itu adalah warga asing yang bekerja di dua pasar berkenaan selain premis-premis perniagaan di kawasan sekitar.

Ia susulan daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 28 kes positif COVID-19 direkodkan di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, dengan satu kematian membabitkan warga Myanmar berusia 36 tahun.

Pekerja asing di Pasar Borong Selayang meluahkan kekecewaan kerana dipersalahkan menjadi punca penularan COVID-19 di daerah itu selepas menerima kecaman daripada penduduk tempatan, terutama terhadap masyarakat Rohingya.

Memetik laporan MalayMail, seorang pekerja migran warga Myanmar mengatakan bahawa ini tidak adil bagi seluruh komuniti pekerja migran yang terdiri dari pelbagai kewarganegaraan.

“Sehingga kini saya rasa mereka belum jumpa kluster yang dijangkiti koronavirus dan membawanya ke pasar borong.

“Mereka tidak boleh menyalahkan semuanya terhadap pekerja asing hanya kerana kebanyakan kes dikesan dalam kalangan pekerja asing,” kata warga Myanmar itu kepada Malay Mail.

Tegas pekerja asing itu, mereka tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti sosial kerana waktu kerja yang panjang.

Menerangkan rutin harian bekerja mereka, bermula pada jam 11 malam untuk persiapan operasi pasar yang mula buka pada pukul 1 pagi esok, mereka bekerja sehingga jam 7 pagi.

“Sebilangan bekerja double shifts, yang bermaksud mereka akan berehat sebentar, dan terus bekerja shift hingga 7 malam. Selepas itu, pulang ke rumah, makan dan tidur dan rutin berulang setiap hari.

“Adakah anda fikir pekerja migran mempunyai masa untuk keluar?” Kata warga Myanmar yang meminta namanya tidak disebut.

Pekerja Asing COVID-19

Menurut pekerja asing terbabit, sesiapa sahaja boleh membawa wabak itu ke daerah itu, boleh jadi pembawa itu adalah pihak pengawasan atau pembekal yang datang ke pasar itu.

Disebabkan virus COVID-19 sangat mudah berjangkit dan mudah disebarkan oleh mereka yang tidak sedar dijangkiti wabak itu, seharusnya tidak perlu meletakkan tuduhan itu ke atas mereka, kata pekerja itu.

Seorang lagi pekerja Myanmar berkata, dia menolak gambaran Selayang sebagai tempat tinggal warganya.

“Kami bukan satu-satunya di sini, jika anda ingin membincangkan mengenai populasi pekerja migran. Terdapat juga warga Bangladesh, Indonesia dan juga Pakistan.”

Bagaimanapun, wakil penduduk di kawasan itu berkata mereka tidak kisah dengan pekerja asing di sana tetapi apa yang penduduk mahu hanyalah patuh pada perintah PKP dan kekal duduk di rumah.

Sumber: Malay Mail