Scammer Whoscall

Jangan Jadi Mangsa ‘Scammer’, Polis Gesa Orang Ramai Muat Turun ‘Whoscall’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Polis menggesa orang ramai untuk memuat turun aplikasi ‘Whoscall’ pada peranti mudah alih masing-masing bagi membendung peningkatan jumlah penipuan ‘scammer’ di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, aplikasi itu boleh membantu orang ramai untuk mengelak dari menjadi mangsa penipuan menggunakan telefon dengan memberi amaran kepada pengguna mengenai panggilan yang disyaki dibuat oleh ‘scammer’.

Pembangun aplikasi tersebut juga sentiasa bekerjasama dengan pihak polis untuk menyenaraihitamkan nombor-nombor telefon dan memberi amaran kepada pengguna telefon pintar tentang kemungkinan panggilan itu datangnya dari ‘scammer’.

Ini akan membantu penerima panggilan untuk membuat keputusan sama ada untuk menerima panggilan tersebut atau tidak.

“Aplikasi Whoscall mempunyai pangkalan data nombor telefon ‘scammer’ yang disediakan oleh pihak polis. Dengan aplikasi tersebut, pengguna telefon pintar akan dimaklumkan tentang kemungkinan menerima panggilan penipuan dengan memancarkan amaran pada skrin pengguna. Aplikasi tersebut adalah percuma dan selamat digunakan,” katanya semasa pelancaran aplikasi itu di Cheras baru-baru ini.

Mohd Kamarudin juga menggesa orang ramai untuk terus memaklumkan kepada pihak polis nombor-nombor telefon ‘scammer’ yang diterima oleh mereka kerana ini akan menambah baik lagi pangkalan data CCID.

Pada majlis yang sama, polis turut memperkenalkan lagu ‘anti-scam’ dan muzik video bertajuk ‘Be Smart, Be Alert’ untuk menyedarkan orang ramai tentang aktiviti penipuan. Lagu yang digubah oleh pemuzik dan komposer Lenny Ooi Teck Wai itu melibatkan penyertaan beberapa orang penyanyi bersama dengan anggota polis.

Beliau turut menjelaskan, dengan berlangsungnya kempen anti-penipuan yang berterusan selama ini, kes telah menurun kepada 20,041 tahun lepas berbanding 20,701 kes pada 2021.

Mohd Kamarudin juga berkata walaupun kes berkurangan sedikit tahun lepas, kerugian yang direkodkan adalah lebih tinggi iaitu RM684.5 juta berbanding pada 2021 yang berjumlah RM560.8 juta sahaja.

Walau bagaimanapun, beliau berkata jumlah kerugian membabitkan semua kes jenayah komersil tahun lepas adalah lebih rendah iaitu RM1.73 bilion, berbanding RM2.2 bilion kerugian pada 2021.

“Perjuangan kami menentang ‘scammer’ akan diteruskan dan kami tidak akan jemu mendidik orang ramai. Kami berharap orang ramai akan terus berhati-hati pada setiap masa apabila menerima panggilan daripada individu yang mencurigakan, yang ingin menipu mereka.”

Scammer Whoscall

BACA: Situasi-Situasi Bagaimana ‘Scammer’ Dapat Tahu ‘ID Pengguna’ Dan ‘Kata Laluan’ Anda

Sumber: TheSunDaily