
Jangan Garang Sangat! Ini Sebab Kenapa Tak Perlu Pun Nak Marah-Marah Anak Kecil Anda
Memang fitrah kanak-kanak itu biasanya sentiasa nakal serta degil yang sudah tentunya menguji tahap kesabaran ibu bapa mereka.
Namun, ibu bapa seharusnya sentiasa bijak mengawal emosi dan tidak terlalu garang serta mengikut perasaan ketika mendidik anak-anak kecil yang tidak berdosa ini.
Dr Redza Zainol telah berkongsi sebuah kisah sendu di Facebooknya bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai perkara ini.
Amat mengejutkan kerana hantaran beliau ini menjadi viral dalam sekelip mata dan setakat ini saja telah menerima lebih 900 komen, diulang kongsi sebanyak 4.8K kali dan menerima 12K tanda suka hanya dalam masa 24 jam!
Pasti selepas membaca kisah ini, ramai ibu bapa di luar sana insaf dan tak sampai hati nak marah-marah anak kecil mereka lagi. Jom baca.
Saya pernah berjumpa seorang kawan. Mula-mula sekadar berborak biasa.
Entah macam mana, boleh berborak pula mengenai anak-anak kami.
Dia cerita dulu dia seorang yang asyik marah pada anaknya. Dari seawal subuh, ada saja yang tak kena.
Anak makan terlalu cepat, ditegur kata gelojoh. Kalau susu di gelas tertumpah, habis dijeritnya cuai. Sapu mentega banyak-banyak atas roti dikatanya tamak.
Ada sekali tu, anak dia baru selesai mandi. Belum lagi badannya kering, dah terus disarung baju sekolah.
Apa lagi, ditempik anaknya tu.
Dah jadi kebiasaan, bila tiba saja di sekolah, anaknya akan salam dan terus masuk ke pintu kecil sekolah.
Dan setiap kali tu lah, dia akan lambai ayahnya sambil tersenyum sebelum masuk ke kelas.
Tapi kawan saya kata mukanya tetap masam. Asyik mencari lagi apa yang tak kena.
Bila kawan saya balik ke rumah, apa saja yang anak dia main, ada saja salahnya. Main guli tak boleh. Main itu dan ini semuanya salah.
Satu malam, isteri dia tanya kenapa marah sangat dengan anak. Sepanjang masa, anak mereka baik saja.
Cuma kadang-kadang, dia merengek dan buat sedikit perangai.
Tapi dia kata dia tak endah.
Sampai satu hari, dia tengah tekun baca surat khabar. Anaknya datang dan masuk ke bilik.
Kawan saya pandang sikit dan tanya nak apa. Dia rasa seperti budak tu datang nak mengganggu dia.
Perlahan-lahan si anak ni berjalan dekat dan peluk kawan saya ni dari belakang.
Tangan di sekeliling leher ayahnya, dan dia bisik, “Sayang ayah.”
Serta merta nafasnya rasa berat dan rasa itu pun berkumpul di dada. Anak tadi berlari terus ke bilik tidurnya.
“Apa dah jadi dengan aku ni,” kata kawan saya ni seorang diri.
Sibuk mencari salah anak. Ini rupanya hadiah seorang ayah pada seorang anak lelaki.
Bukannya dia tak sayangkan anaknya. Tapi dia berharap yang bukan-bukan dari anak kecilnya.
Budak kecil dianggapnya seperti anak yang sudah besar dan matang. Dilayannya seperti orang dewasa.
Pada waktu tu, barulah dia faham apa maksud isterinya.
Terlalu banyak lihat apa yang silap, sampai dia lupa pada sifat anaknya yang baik, yang jujur dan penuh kasih sayang itu.
Dia lupa yang satu masa dulu, dia pun kanak-kanak juga yang hanya inginkan perhatian ayahnya.
Hari ni rumah kita penuh dengan gelak tawa dan tangisan anak. Satu hari nanti, rumah itu akan menjadi sunyi dan kita akan terasa betapa cepatnya masa berlalu meninggalkan kita.
Selain di FB, saya juga berkongsi ilmu parenting dan kesihatan kanak kanak di 👉🏻 https://t.me/NotaRedzaZainol
BACA: “Kalau Tak Marah Dia Tak Belajar!” – Ini BUKAN Cara Yang Betul Untuk Didik Anak Anda
Sumber: Redza Zainol