Jalan Raya Malaysia

‘Jalan Raya Malaysia Ke-12 Terburuk’ Tidak Tepat Dan Mengelirukan – Kementerian

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Satu artikel yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan yang bertajuk “Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk” didakwa sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Dakwaan itu dibuat oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang menafikan laporan tersebut dan menganggapnya telah memberikan persepsi yang kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

Artikel berkenaan dikatakan tidak tepat dan mengelirukan kerana ia merujuk kepada laporan “Worst and Best Roads – US and International Ranking” yang dijalankan oleh sebuah firma pendidikan pemandu Zutobi.

Laporan berkenaan pula hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya dan hanya mengambil kira data untuk 59 negara sahaja, bukan semua negara di dunia.

Menurut KKR lagi, terdapat sebuah kajian yang dikeluarkan Utusan Malaysia pada 10 Ogos lepas dengan tajuk “Kualiti jalan di Malaysia 21 terbaik di dunia, mengatasi Australia, Britain, New Zealand” dengan menggunakan sumber dikeluarkan oleh The Global Economy yang memperoleh data berdasarkan komponen kualiti jalan diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

Kajian tersebut dianggap lebih tepat kerana memetik sumber sahih daripada kajian eksekutif melibatkan sejumlah 14,000 tokoh dari 144 negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia yang berpusat di Davos, Switzerland.

Berdasarkan data itu, didapati tahap jalan raya negara ini adalah antara terbaik iaitu 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata, di samping tahap jalan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Sweden (ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33), Britain (ke-37) dan menduduki tangga kedua di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kedua selepas Singapura.

Jalan Raya Malaysia

BACA: Penunggang Motosikal Luar Negara Perli Malaysia Gagal Baiki Jalan

Sumber: Malaysiakini