Jadi Kegunaan Golongan Pedofilia, Polis Nasihat Ibu Bapa Pantau Anak Kecil ‘BerTikTok’

TikTok Pedofilia

Jadi Kegunaan Golongan Pedofilia, Polis Nasihat Ibu Bapa Pantau Anak Kecil ‘BerTikTok’

Aplikasi video pendek TikTok yang dimiliki oleh ByteDance dan berpangkalan di Beijing sering sahaja terpalit dengan pelbagai kontroversi.

Tidak dinafikan, TikTok menjadi aplikasi tersohor yang cukup menghiburkan kerana melaluinya pengguna boleh melepaskan tekanan tidak kiralah dari usia muda hingga tua (tetapi lebih popular kepada golongan remaja).

Bagaimanapun, ia boleh mendatangkan keburukan jika tidak digunakan dengan sebaiknya.

Menerusi perkongsian Facebook Polis Diraja Malaysia, PDRM memberi nasihat kepada ibu bapa supaya pantau anak kecil mereka ketika menggunakan aplikasi TikTok. Hal ini tercetus apabila aplikasi itu berkemungkinan boleh digunakan pedofilia untuk mengambil kesempatan ke atas anak kecil.

“Ibu bapa, sila pantau anak kecil anda bertiktok. Aplikasi TikTok kini menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat, baik di Malaysia mahupun luar negara.

“Ia menjadi platform untuk mengekspresikan diri dalam bentuk nyanyian, tarian, seni fotografi dan sebagainya.

“Namun demikian, dalam keterujaan menggunakan aplikasi tersebut, tolong ambil peduli mengenai individu yang cuba mengambil kesempatan kepada kanak-kanak (pedofilia).

“Mereka ini akan cuba memanipulasi keseronokan merakam cabaran berTikTok dengan melakukan pengantunan kanak-kanak (child grooming), meminta anak kecil berkenaan menyentuh atau melihat bahagian sulit pada tubuh.

Tambah PDRM, video TikTok tersebut berkemungkinan akan menjadi simpanan koleksi peribadi individu pedofilia yang lain.

“Oleh itu ibu bapa sekalian, sila pantau dengan siapa anak kecil anda berTikTok. Pastikan setiap cabaran yang dilakukan sentiasa di bawah pengawasan anda.

“Sedikit terlalai, anak anda mungkin menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab,” tulis kenyataan tersebut.

TikTok Pedofilia

Anak kecil tidak tahu membezakan yang baik dan yang buruk terutama apabila berkaitan aplikasi di telefon pintar. Justeru, ibu bapa sendiri perlu mengambil inisiatif memantau anak agar tidak menjadi mangsa kepada perosak kanak-kanak ini.

Sebenarnya, aplikasi TikTok ini sudah lama menjadi lubuk kepada Pedofilia. Awal Januari 2020, pihak berkuasa dari jabatan jenayah siber Australia mendakwa, aplikasi TikTok adalah tidak selamat kepada kanak-kanak dan ia juga menjadi platfom utama yang menjurus kepada berlakunya insiden buli atas talian.

Malah isu privasi juga menjadi perkara yang amat membimbangkan beberapa negara berikutan terdapat laporan yang mendakwa data dikutip oleh aplikasi itu.

Sumber: PDRM