
Jack Ma Secara Rasmi Letak Jawatan Sebagai Pengerusi Alibaba
Jack Ma yang merupakan pengasas dan pengerusi firma perdagangan elektronik terbesar, Alibaba Group Holding Ltd secara rasminya meletakkan jawatan pada 10 September. Beliau sebelum ini telah meluahkan hasrat untuk meninggalkan rangkaian syarikat e-dagang terbesar itu sejak setahun lalu.
Beliau meraikan persaraannya di stadium bersaiz Olimpik di bandar Hangzhou – juga lokasi syarikat Alibaba. Daniel Zhang, akan menggantikan beliau sebagai pengerusi yang mana sebelum ini memegang jawatan CEO syarikat itu sejak 2015 selepas berkhidmat sebagai ketua pegawai operasi.
Persaraan itu dibuat pada hari ulang tahun yang ke-55 Jack Ma. Pada September lepas, Jack Ma yang juga merupakan bekas guru mengumumkan persaraannya dan berhasrat untuk menyambung semula sebagai pendidik.
“Sebelum saya berumur 70 tahun, saya mahu melakukan sesuatu dalam bidang lain, seperti bidang pendidikan,” kata Ma pada acara Alibaba pada September lalu.
Beliau merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sebelum menubuhkan Alibaba pada 1999. Juga merupakan graduan Kolej Guru Hangzhou dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di bandar berkenaan.
Ma kemudian memulakan perniagaannya selepas berhenti menjadi guru dan beliau melihat terdapat banyak peluang untuk meraih keuntungan menerusi perniagaan secara dalam talian.
Dalam temu bual bersama akhbar The New York Times, Ma memberitahu bahawa persaraannya daripada syarikat tersebut disifatkan sebagai permulaan era baharu dan bukannya pengakhiran kepada Alibaba.

Menjelang persaraannya, majalah Forbes menyenaraikan Ma merupakan antara rakyat China paling kaya dengan nilai kekayaannya mencecah sehingga AS$36.6 bilion (RM152 bilion).
Walaupun telah meletakkan jawatan daripada ahli lembaga pengurusan kanan Alibaba, beliau dijangka tetap terus membentuk masa depan syarikat itu melalui keahlian seumur hidupnya dengan Alibaba Partnership – kumpulan yang terdiri 36 orang ahli lembaga Alibaba, dan turut mengekalkan bahagian 6.22% syarikat tersebut.
Media China sebelum ini pernah melaporkan tentang kehidupan Ma yang berasal daripada keluarga miskin, selain kejayaannya menguruskan Alibaba menyaksikan medium perniagaan lelong Amerika Syarikat (AS) iaitu eBay terpaksa berundur dari pasaran China pada 2006.
Walaupun syarikat tersebut berada dalam kedudukan yang terbaik, tidak dapat dipastikan Daniel Zhang mampu membawa karisma seperti mana yang dibawa oleh Jack Ma.
Sumber: Asian Review, CNN
Nak tengok siri adiwira sisi gelap?
Jom Tonton Siri Baru – The Boys
dan jangan lupa subscribe Youtube ODISI.