
Jabatan Perangkaan Dedah Penduduk Malaysia Lebih Ramai Lelaki Berbanding Wanita
Jabatan Perangkaan dedah anggaran penduduk semasa di Malaysia untuk tahun 2020.
Sejak berpuluh tahun dahulu, kita dimomokkan dengan bilangan penduduk wanita adalah lebih ramai daripada penduduk lelaki sehingga ianya menjadi alasan untuk kaum lelaki berpoligami.
Dalam satu data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai anggaran penduduk semasa Malaysia 2020, jantina lelaki (16.8 juta – 51.5%) jauh lebih ramai daripada wanita ( 15.9 juta – 48.5%) dengan perbezaan sebanyak 0.9 juta (3%) membawa kepada nisbah jantina 106 orang lelaki bagi 100 orang wanita.

Jika dibandingkan dengan tahun 2019, lelaki mencatatkan jumlah yang sama, manakala wanita meningkat sebanyak 0.2 juta orang.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2017 meninjukkan 51.7% (262,755) kelahiran adalah bayi lelaki berbanding 48.3% (245,448) bayi perempuan.

Dalam data Jabatan Perangkaan Negara bagi 2020, penduduk warganegara meningkat sebanyak 0.3 juta jika dibandingkan dengan data 2019 (29.4 juta) dengan 2020 (29.7 juta). Manakala bukan warganegara pula menurun sebanyak 0.1 juta (3.1 juta – 2019, 3.0 juta – 2020).
BACA: Masalah Kesuburan Dalam Kalangan Lelaki Malaysia Semakin Meningkat – Kajian
Pecahan mengikut etnik juga mencatatkan perubahan dalam tempoh dua tahun. Sebagai contoh, etnik bumiputera dan India pada 2020 mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 0.3 juta dan 0.1 juta. Tetapi etnik Cina mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 juta dan etnik lain-lain masih mencatatkan nilai yang sama iaitu 1.0 juta.
Untuk penduduk berumur 60 tahun ke atas di Malaysia pula meningkat sebanyak 0.1 juta pada 2020 jika dibandingkan dengan 2019.
Di Malaysia kumpulan umur yang mendominasi adalah 15 tahun hingga 64 tahun iaitu seramai 22.8 juta; berlaku peningkatan seramai 0.1 juta jika dibandingkan dengan 2019.
Baru-baru ini, kajian daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang didedahkan Ketua Pengarah, Abdul Shukur Abdullah mendapati masalah kesuburan dalam kalangan lelaki di Malaysia semakin meningkat.
Data bagi tempoh 2010 hingga 2019 mendedahkan kira-kira 60% daripada ujian analisis sperma mencatatkan keputusan abnormal dan satu kajian antarabangsa turut mendukung data ini dengan pendedahan bahawa masalah kesuburan semakin meningkat dalam tempoh 20 tahun belakangan ini membabitkan 7% daripada jumlah populasi lelaki di dunia.
Trending now



