
Jabatan Imigresen Kesan Warga Asing Masuk Ramai-Ramai Menyamar Sebagai ‘Pelancong’
Hasil operasi sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berjaya membongkar satu kegiatan membawa masuk beramai-ramai warga negara asing yang menyamar sebagai pelancong.
Sindiket yang berselindung di sebalik ‘agensi pelancongan’ tersebut didapati turut menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan ke lokasi menarik dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah warga asing yang dibawa masuk melalui pintu masuk klia2 tersebut adalah seperti pelancong sebenar.
Lebih mengejutkan, pembongkaran taktik licik itu juga turut mendapati ianya melibatkan seorang pegawai JIM yang bersekongkol dengan enam lagi lelaki warga India sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pegawai JIM yang ditahan tersebut berusia 31 tahun manakala warga India itu pula berumur antara 20 hingga 42 tahun.
“Modus operandi sindiket ini adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing terbabit untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong,” jelasnya.
Pegawai JIM yang bersubahat itu pula berperanan untuk memberikan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing itu ke dalam sistem JIM.
Menurutnya lagi, mereka juga didapati cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas kerja sah serta mengelakkan bayaran levi.
“JIM akan terus meningkatkan usaha risikan bagi membenteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia membabitkan pegawai imigresen,” tambahnya lagi.
Sindiket yang disyaki mula menjalankan operasi sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu juga dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap ‘pelancong’.
Kesemua warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah manakala pegawai JIM terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, selepas perintah reman diperolehi.
BACA: Lebih 1 Juta Warga China Dikesan Tiada Rekod Keluar Dari Malaysia
Sumber: myMetro