
Itaewon Kini Lengang Dan Sepi Bagaikan ‘Pekan Hantu’
Tragedi hitam ketika sambutan perayaan Halloween di Itaewon, Korea Selatan yang mengorbankan 158 nyawa Oktober lalu masih meninggalkan trauma kepada penduduk tempatan.
Sejak tragedi rempuhan yang meragut nyawa golongan muda berumur lingkungan umur 20-30 tahun tersebut, Itaewon dilihat agak sepi dan lengang tanpa kehadiran pengunjung.
Ketika ini, walaupun kebanyakan kedai telah mendirikan hiasan Krismas dan bersedia untuk menerima pengunjung, ianya dilihat tidak mendapat sambutan ramai dan sunyi dari kebiasaannya.
Kawasan Itaewon yang lazimnya bergemerlapan semasa musim cuti Krismas kini seolah-olah bagaikan ‘pekan hantu’.
“Itaewon selalunya menjadi tumpuan untuk parti ketika Krismas dengan pelbagai hiasan dan dekorasi di sepanjang jalan, tetapi sekarang sunyi sepi dan muram,” jelas seorang penduduk, Lee Jun-hee.
“Orang ramai masih berkabung. Kita masih memerlukan masa,” tambah Kim Kyeong-nyeon yang juga merupakan salah seorang penduduk tempatan yang turut merasai kesuraman itu.
Pemandangan di Itaewon masih lagi dipenuhi dengan dinding-dinding di deretan kedai yang menampal poster serta nota bagi memperingati mangsa yang terkorban.
Dalam kejadian malang yang berlaku pada malam 29 Oktober tersebut, orang ramai berpusu-pusu memenuhi kawasan itu bagi meraikan sambutan Halloween buat pertama kali selepas tiga tahun sepi akibat pandemik COVID-19.
BACA: Tragedi Itaewon: Lelaki Misteri Bertopi Arnab Dituduh Jadi Punca, Kini Diburu Polis
Sumber: astro AWANI