
Isu Rotan Pelajar Gara-Gara Dipanggil Pondan, Ini Pandangan Daripada Sudut Seorang Guru
Gara-gara mulut celupar seorang pelajar Tingkatan 1 di Skudai yang menggelar gurunya sebagai pondan (bukan sekali dua), institusi perguruan sekali lagi ‘digemparkan’ dengan isu merotan pelajar.
Satu paparan video menjadi tular di laman media sosial apabila perakamnya, ibu mangsa mempersoalkan tindakan guru tersebut yang merotan anaknya yang memanggil guru tersebut dengan gelaran ‘ah kua’.
Merasakan bahawa tindakan guru tersebut adalah tidak berasas kerana anaknya sudah meminta maaf (selepas dirotan dan disuruh oleh rakan-rakan), wanita terbabit tampil membuat laporan polis.
Penularan kes ini telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, antaranya daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang memberitahu hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan mengikut Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957.
Manakala bagi pihak Menteri Pendidikan sendiri, Dr Maszlee menyerahkan kes tersebut kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru agar disiasat secara telus dan adil selain daripada mengadakan perjumpaan dengan kedua belah pihak.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Fadli Salleh tampil menyuarakan pendapat peribadinya sebagai seorang guru.
Beliau merasakan kedua belah pihak adalah salah yang mana murid melanggar peraturan sekolah dengan perbuatan menghina guru dan guru bertindak balas dengan cara merotan secara berlebihan.
Perakam video turut bersalah, yakni ibu kepada pelajar yang dilihat merakam dengan tujuan mahu mengaibkan guru dan pihak sekolah.
Menghina guru dengan gelaran ‘pondan’ adalah tidak masuk akal dan melampau, lebih-lagi jika dilakukan di hadapan pelajar lain. Siapa sahaja tidak marah dan hilang sabar jika dilayan sebegitu rupa kan?
Rata-rata daripada netizen menyebelahi tindakan guru terbabit yang dirasakan bermula apabila timbulnya provokasi daripada pihak pelajar itu sendiri. Kejadian ini tidak menimbulkan isu rasis sebaliknya masing-masing mengutarakan di mana letaknya adab pelajar berkenaan.
Sedih. Tidak mahu memihak kepada sesiapa, dunia moden kini bukan sahaja telah menenggelamkan nilai tradisi masyarakat tetapi juga menenggelamkan adab serta kemurnian budi bahasa anak muda. Ramai ibu bapa zaman kini seakan lepas tangan mengajar anak-anak perihal budi dan adab.
Benarlah kata pepatah,
“Sayang anak tangan-tangankan, sayang suami tinggal-tinggalkan.”
Sumber: Mohd Fadli Salleh
Trending now



