
Isu Penyebaran Kandungan Provokasi Berbayar, Pihak Pengurusan TikTok Kena Panggil
Susulan dari penyebaran klip video berbaur provokasi, pihak pengurusan TikTok dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan, seperti yang dilaporkan dalam sebuah portal berita sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga klip video mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tersebar di laman sosial tersebut ketika ini.
“Penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat untuk mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain, adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab, yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan dengan agama dan kaum.
“Bagi memastikan kandungan ini tidak tersebar luas, sila ambil langkah berikut. Jangan kongsi dan sebar, jangan panjangkan kandungan itu ke platform media sosial lain serta laporkan kepada pihak berkuasa jika menerima kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, Institusi Raja dan perkauman,” jelas kenyataan MCMC tersebut.
MCMC dan PDRM akan sentiasa mempertingkatkan usaha mengekang penyebaran video yang boleh menggugat ketenteraman awam dari semasa ke semasa.
Oleh yang demikian, orang ramai digalakkan untuk segera melaporkan sebarang kandungan berbaur provokasi melalui pautan dan saluran berikut:
- Laman web: https://aduan.skmm.gov.my/
- Portal: https://sebenarnya.my/salur/
- E-mel: [email protected]
- Talian: 1800-188-030
- WhatsApp: 016 2206 262
BACA: Trend Bahaya Di TikTok: Skrip & Mesej Hampir Sama, Ada ‘Pihak’ Memperalat Anak Muda?
Sumber: Berita Harian