
Isu Penginapan Hotel Di Tanah Suci: Jangan Hanya Tahu Tuding Jari, Kecam Pak Arab
Isu penginapan hotel di Tanah Suci ketika ini masih lagi hangat dan belum reda dengan terbongkarnya beberapa lagi pendedahan terbaharu di media sosial.
Jika sebelum ini, Pak Arab dikecam dan dipersalahkan kerana dianggap menjalankan aktiviti ‘scam’ atau penipuan, namun timbul pula satu perkongsian lain di Facebook yang menjelaskan perkara yang sebaliknya.
BACA: AWAS! ‘Scam’ Pengurusan Hotel Oleh Pak Arab: Ramai Jemaah Kena Tipu Setiap Hari!
Hantaran ini dibuat oleh Pengarah Urusan Salam Hijrah Holiday Sdn. Bhd., Hj Mohammed Farid Masri di Facebooknya yang ingin membawa orang ramai melihat isu tersebut dari sudut yang berbeza.
Betul ke Pak Arab itu semuanya ‘scammer’ atau ada kisah lain di sebaliknya? Jom ikuti perkongsian dari beliau berikut dan cuba kita nilaikan sendiri.
Seronok betul ustaz ajak orang ramai mengecam orang Arab kerana menaikkan harga hotel sesuka hati, sehingga dikatakan bangsa mereka sesuka hati cancel booking hotel, harga naik tak tentu pasal dan sebagainya.
Panjang tau kali ini.
Ada yang panggil Abu Lahab, Abu Jahal, ada pula yang kata, “Mutawwif kami juga cakap benda yang sama, kalau bukan sebab Masjidil Haram dan Masjid an-Nabawi, memang kita takkan ‘mahu’ datang ke sini”.
Keluar sahaja artikel dari berita tempatan, ustaz pun seronok ‘share’ sebagai tiket melepaskan diri dengan apa yang telah berlaku. Jemaah ustaz yang sampai-sampai tak ada hotel, yang dijanjikan Safwah kemudian bila sampai hotelnya terletak di 8 kilometer, semuanya kena akur dan redha.
Namun, pernahkah ustaz terfikir bahawa..
1) Ketika ustaz mengajak orang ramai mengerjakan Umrah menggunakan pengaruh ustaz, harga yang diiklankan adalah sememangnya tidak logik. Ustaz gunakan ‘rates’ yang ustaz dapat pada bulan Mac untuk dapatkan ‘costing’ kemudian ustaz jualkan pakej dengan mudah dan gembira.
2) Pihak hotel berhak mengubah harga hotel, dan ianya memang berlaku dari dulu lagi selagi mana kita tidak melakukan sebarang pembayaran. Katakan kita mendapat harga tempahan Disember pada bulan Mac, biasanya terdapat 1 tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak hotel untuk kita lakukan bayaran supaya harga tidak berubah. Apabila tempoh ini telah tamat, maka harga akan berubah mengikut harga semasa.
Katakan, tempoh yang diberikan biasanya adalah 2 minggu, dan berakhir pada 15 April, tapi kita menghantar tempahan dan duit pada 1 Oktober. Maka tentunya harga adalah mengikut kadar semasa pada Oktober.
3) Semasa ustaz sampai ke Tanah Suci tapi tiada bilik, bukankah menjadi tanggungjawab ustaz untuk mengesahkan lebih awal sebelum berangkat? Kenapa ustaz tak buat homework lebih awal? Kenapa mesti sampai di sana dan terkejut? Kenapa mesti sampai di sana baru tahu hotel tak ada?
4) Ketika ustaz tak faham bagaimana cara mereka berurusan dan berjual beli, kenapa ustaz nak juga menjual pakej Umrah? Kenapa ustaz mesti nak ‘buat pandai’ yang akhirnya ustaz menghukum dengan menuding jari ke sana ke sini?
5) Ustaz sebagai seorang ustaz, tak sepatutnya menyeru manusia membenci muslim yang lainnya, apalagi mengajak manusia untuk bersangka buruk dengan dua Tanah Haram, hanya untuk menutup malu dan cacat ustaz di hadapan jemaah. Ustaz burukkan Arab supaya ustaz tak dilihat bersalah di mata mereka. Dan hasilnya ya, manusia sedang beramai-ramai mencaci maki Arab di ruang komen. Indahnya muslim bersaudara.
Hakikatnya, mereka takkan menipu apabila akad jual beli (bertulis) telah berlaku. Belum cukup lama, tapi saya sempat melalui bertahun-tahun sehingga sekarang menguruskan tempahan ratusan bilik sebulan. Pembayaran adalah kuncinya. Sepercaya apapun mereka kepada kita, setelus mana pun kita, ‘We cant challenge the system’. Apabila sistem mereka menyatakan yang tiada pembayaran dibuat, maka booking ‘mulut’ tadi akhirnya akan ditutup dan dibuka semula untuk jualan di pasaran. Ini bukanlah benda baru, bahkan dah lama diamalkan.
Isu percaya, telus, hormat tetamu Allah ini perlu diketepikan. Mereka sendiri biasa berhadapan dengan penipu, bukan hanya kita yang sewenang-wenangnya mengecam mereka sebagai penipu. Kita perlu faham, seandainya ada 1 hari yang hotel mereka tak terisi, ianya bakal membawa kerugian yang besar. Kalau 1 bilik harganya SR500, 1 malam 20 bilik bersamaan SR 10,000. Itu baru 20 bilik, yang kononnya mereka simpan untuk 1 orang yang terpercaya, tapi akhirnya tak kunjung tiba. Siapa nak tanggung?
Kalau takut bilik hilang, mintalah jemaah bayar penuh 3 bulan sebelum penerbangan supaya kita dapat melakukan pembayaran di atas tempahan kita. Dan ini adalah yang lebih baik, tapi masih lagi rata-rata syarikat mengamalkan pembayaran penuh sebulan sebelum berangkat. Akibatnya, kerosakan yang banyak bakal berlaku.
Satu lagi, kalau nak jual, harga itu biarlah realistik. Kesian kat jemaah nak kena tambah bagai di minit akhir.
‘Pak Arab’ tipu atau tidak, yang pastinya, jemaah dah sampai dan hakikatnya mereka tak dapat seperti apa yang dijanjikan. Dalam erti kata lain, mereka dianiaya. Nak bercakap lebih pun, takut dikecam oleh followers ustaz, akhirnya mereka pun kenalah ‘buat-buat’ redha.
Kesimpulan saya,
Arab tak tipu, tapi kita yang bodoh.
Sumber: Mohammed Farid Masri