
Isu Penghapusan Etnik Rohingya, Myanmar Kini Dibicara Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Sejak akhir 2016, berita mengenai kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya hangat diperkatakan. Dilayan layaknya seperti haiwan, hak-hak etnik ini bukan sahaja dinafikan malah mereka terpaksa berdepan pelbagai risiko menjadi mangsa jenayah seperti bunuh, diragut kehormatan diri, dibakar hidup-hidup dan sebagainya.
Masih lagi berlangsung hingga ke hari ini, Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir pernah membidas peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Myanmar kerana tidak menyelesaikan krisis ini dengan seadilnya serta perbuatan mendiamkan diri dua ‘badan’ ini lebih memburukkan keadaan.
Untuk pengetahuan anda, kini Myanmar sedar dibicarakan atas tuduhan melakukan genocide atau ethnic cleansing ke atas orang-orang Islam Rohingya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (international Court of Justice – ICJ) di The Hague, Belanda.
Kes ini difailkan oleh Gambia, salah sebuah negara di Benua Afrika yang menjadi wakil 57 negara Islam lain bagi memfailkan permohonan yang sama untuk membawa Myanmar ke muka pengadilan.
Gambia yang diwakili oleh peguam Amerika Syarikat, Paul Reichler dan Britian, Philippe Sands yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang maritim dan antarabangsa.
Dalam perbicaraan tersebut yang diadili oleh 17 hakim pelbagai negara, Reichler dan Sands telah menyelar tindakan Myanmar dan PBB yang seakan berdiam diri walaupun PBB pada tahun 2018 telah mengeluarkan laporan bagaimana tentera Myanmar membunuh bayi, merog0l wanita-wanita Rohingya dan membakar mereka hidup-hidup.
Dalam perbicaraan itu juga hadirnya pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang membela mempertahankan tindakan tentera Myanmar yang disifatkan sebagai langkah pengekangan kegiatan pengganas daripada terus menular.
Walaupun mengakui tindakan tentera negaranya sebagai ‘sedikit keterlaluan’, Suu Kyi menafikan ianya sebagai langkah pembersihan etnik seperti yang didakwa.
Gambia dalam perbicaraan tersebut meminta agar satu perintah provisional measures diambil untuk melindungi warga Rohingya yang mana Mahkamah Keadilan Antarabangsa boleh memerintahkan beberapa langkah yang perlu dipatuhi oleh Myanmar dalam memastikan etnik Rohingya mendapat pembelaan sewajarnya.
Sekiranya Myanmar ingkar, mereka boleh dikenakan tindakan sama ada daripada segi sekatan ekonomi, bantuan kewangan, bantuan ketenteraan dan sebagainya oleh PBB kerana sudah termaktub dalam Artikel 94 UN Charter bahawa semua yang mengiktiraf ICJ perlulah mamtuhi perintah ICJ.
Namun, Malaysia tidak termasuk dalam senarai negara yang memfailkan permohonan kerana ICJ tidak diiktiraf oleh Malaysia.
Sumber: Jumpa Kat Mahkamah, VOA, CFR, Berita Harian, Wikipedia, Berita Harian