
Isu Kesesakan: Pakar Cadang Lupus Kenderaan Usia 10 Tahun, Jurutera Ini Tak Setuju
Masalah kesesakan jalan raya sejak akhir-akhir ini sering dibincangkan oleh beberapa pakar bagi menyelesaikan isu tersebut susulan penambahan jumlah kenderaan secara mendadak menjelang pasca COVID-19.
Ada yang mengutarakan cadangan bagi mengatasi kesesakan jalan raya di ibu kota dengan menumpukan penambahbaikan sistem pengangkutan awam di negara ini.
Cadangan lain pula, kenderaan di Malaysia perlu mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun.
Mekanisme itu dicadangkan oleh sekumpulan penyelidik dari UKM yang diketuai oleh Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr Rozmi Ismail.
Memetik sumber Sinar Harian, polisi tersebut katanya bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.
Justeru, mana-mana kenderaan yang telah melepasi had tempoh ditetapkan perlu dilupuskan supaya tidak berada di jalan raya.
Namun, cadangan tersebut tidak dipersetujui Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal atau lebih dikenali sebagai ‘Dr Aid Fawzal’- merupakan seorang jurutera tempatan yang kini bertugas di UK kerana ia tidak sesuai diaplikasikan di Malaysia.
Berikut merupakan perkongsian Dr Aid Fawzal menerusi hantaran di Facebook.
Saya memahami kehendak perlu wujudnya mekanisme pelupusan yang baik agar dapat seimbangkan sistem kenderaan dan jalan raya dalam negara kita. Ini kerana, mana-mana sistem yang sihat, nilai kemasukan perlulah sama dengan nilai yang dibuang (atau keluar daripada sistem).
Sebaliknya di Malaysia, saban tahun kita didendangkan dengan nilai jualan kereta jenama itu dan ini, tetapi tak ada mekanisma untuk buang kereta-kereta usang.
Cadangan pelupusan kereta mengikut had umur seperti Singapura & Jepun ini TIDAK SESUAI untuk Malaysia.
Lupus kereta ikut roadwothiness kenderaan
Sebab itu saya cadangkan kita lupuskan kereta mengikut keadaan kebolehjalan (roadworthiness) sesebuah kenderaan.
Letak definisi yang baik terhadap kebolehjalan ni seperti keadaan sistem gantungan (suspension), keadaan brek, keadaan tayar, keadaan enjin, dan sebagainya. Dengan ini, hanya kenderaan yang baik sahaja layak menyusur dijalan raya, manakala kereta-kereta yang tidak memenuhi standard kebolehjalan bolehlah dilupuskan.
Ini kerana ada kereta lama yang dijaga rapi dan masih dalam keadaan baik. Ada pula kereta muda yang tak dijaga rapi dan membahayakan. Yang jenis kedua ni yang patut dilupuskan.
Apa pun, cadangan perlupusan kereta ni harus didatangkan bersama dengan kejujuran, bebas rasuah, skim perlupusan yang adil dan yang paling penting, penurunan harga kereta yang menasabah.
Takkan lah loan bank kasi maksimum 9 tahun, masuk tahun ke 10 nak kena lupus dah. Ini tidak munasabahkan?
Sumber: Dr Aid Fawzal