
Isu Hutang RM37.22 Juta, PappaRich Berdepan Risiko Muflis?
Isu hutang tidak berbayar sebanyak RM37.22 juta menjadi punca restoran PappaRich di Malaysia berdepan saman untuk ditutup operasi.
BACA: Hadapi Krisis Hutang, iflix Kini Dilaporkan Sedang Dalam Perbincangan Untuk Dijual
Petisyen tersebut difailkan kepada PappaRich Group Sdn Bhd oleh Agathisfour Sdn Bhd pada 22 Mei atas jumlah yang perlu dibayar oleh kumpulan itu dan anak-anak syarikatnya serta syarikat-syarikat berkaitan kepada PappaRich Malaysia Sdn Bhd dan Roti-Roti International Sdn Bhd (RRI).
Kes yang akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 November ini turut dijadualkan untuk didengar pada 21 September (satu petisyen lain yang diajukan oleh Chen Khai Voon, pengasas KVC Industrial Supplies Sdn Bhd yang memiliki saham dalam PappaRich Group dan Agathisfour).
Pada Mei 2014, PappaRich Malaysia dan Agathisfour telah menandatangani satu perjanjian untuk Agathisfour memperoleh 4.47 juta saham di PappaRich Malaysia dengan harga RM24 juta dan 325.303 saham baru dalam syarikat dengan harga RM6 juta.
Dalam perjanjian tersebut, PappaRich Group Sdn Bhd diwajibkan untuk menyelesaikan jumlah penuh yang dihutang (bukan perdagangan) kepada PappaRich Malaysia dalam tempoh masa 36 bulan dari tarikh perjanjian serta jumlah yang harus dibayar kepada RRI pada Oktober 2015.
Tarikh penyelesaian hutang berkenaan kemudiannya dilanjutkan kepada Mei 2017, namun Agathisfour mengatakan PappaRich Group Sdn Bhd gagal menyelesaikan hutang menyebabkan baki hutang mencecah RM37.22 juta.

Daripada sumber The Edge, PappaRich Group memiliki jumlah aset RM25.85 juta lebih rendah daripada jumlah liabiliti berjumlah RM29.48 juta.
Sejak 2012, keuntungan syarikat telah menurun dan kerugian bersih pula semakin meningkat membawa kepada jumlah RM11.93 juta pada Jun 2018.
Pada tahun fiskal 2018, PappaRich Malaysia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM536,547 berbanding keuntungan bersih yang dicatatkan pada tahun fiskal 2017 iaitu sebanyak RM1.36 juta.
Sehingga kini, sebanyak 125 buah cawangan restoran PappaRich telah dibuka di seluruh dunia dengan jumlah yang paling banyak adalah di Malaysia (83 cawangan), tujuh di Singapura dan selebihnya di beberapa negara lain seperti Australia, China, Indonesia, New Zealand, Korea Selatan, dan Taiwan.
Sumber: The Edge, Dagang News