
Isu Bil Elektrik Tinggi: TNB Tipu Bil Atau Kita Yang Sebenarnya Berhutang?
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua bulan lalu, ramai pengguna merungut di laman sosial tentang kenaikan mendadak bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau lebih mesra dipanggil bil elektrik sehingga ada mendakwa jumlah yang perlu dibayar tidak masuk akal.
Ramai yang terus-menerus membuat kesimpulan sendiri tanpa mengetahui perkara yang sebenar kenapa bil elektrik tiba-tiba melambung sebegitu tinggi. Ada yang mendakwa kenaikan bil disebabkan TNB mengira jumlah penggunaan secara ‘lump sum’ 3 bulan sekali gus.
Seorang pengguna Facebook, Jazlan Arifin Johan Arifin membetulkan kekeliruan orang ramai tentang kaedah bacaan elektrik yang sedang digunakan oleh TNB ketika tempoh PKP dan penularan wabak COVID-19 ini.
Jazlan menjelaskan mengikut turutan dan terdapat tiga kekeliruan utama:
1) Penjelasan bil sebenar (pelarasan)
2) Kaedah prorata yang untungkn pelanggan
3) Solusi yang ditawarkan (easy payment EPP)
Untuk pemahaman lanjut, TNB menggunakan kaedah pengiraan protata untuk mengira bil pengguna bagi bulan Mac, April dan Mei menjadikan jumlahnya lebih rendah dan berpatutan berbanding kaedah tanpa prorata.
Kaedah berkenaan diguna pakai bagi memastikan pelanggan tidak dikenakan caj berlebihan dan merupakan kaedah yang digunakan di seluruh dunia.
Apa yang pengguna perlu faham:
1. Bagi bulan Mac dan April, bil anggaran telah dikeluarkan kepada pengguna.
2. Mulai 15 Mei, operasi membaca meter telah disambung semula.
3. Bil sebenar dikeluarkan berdasarkan penggunaan sebenar elektrik bagi bulan sebelumnya iaitu Mac hingga Mei.
4. Justeru, Bil sebenar mungkin lebih tinggi daripada bil anggaran memandangkan pengguna banyak meluangkan masa di rumah sepanjang tempoh PKP.
Berikut adalah contoh pengiraan bil elektrik menggunakan kaedah prorata bagi memudahkan pengguna untuk faham:
Anda menerima bil elektrik pada 21 Mei 2020 yang mempamerkan penggunaan sebenar elektrik berjumlah 950kw.
Andaikan bil bulan Mac dan April adalah bil anggaran dan tempoh keseluruhan bagi bil Mac, April dan Mei adalah 91 hari.
Maka, jumlah keseluruhan tempoh bil selama 91 hari itu dibahagi dengan 30 hari dan menghasilkan faktor prorata.
3.0333 (91/30=3.03).
Terdapat lima blok tarif dikenakan bergantung kepada penggunaan elektrik.
Seperti yang dikatakan Jazlan, kita sebagai pelanggan kediaman (domestic) yang sebenarnya telah berhutang dengan TNB selama tiga bulan ini.
“TNB buat caj anggaran yang lebih rendah dari kegunaan sebenar kita pakai, masa mula2 PKP bermula, maklumlah orang ramai nak beli barang keperluan dan sebagainya,” ujarnya.
Justeru, sebelum kita merungut, kena cuba fahamkan dahulu bagaimana pengiraan bil sepanjang PKP.