Isu Beg Terbuang: Lelaki Ini Nekad Buat ‘Penghantaran Khas’ Ke Pejabat Foodpanda

Foodpanda Sampah
Sumber: FB

Terdahulu tular gambar keadaan tapak pelupusan sampah haram di lereng bukit Jalan Gombak berhampiran Hospital Orang Asli yang dipenuhi sampah domestik, pukal dan beg penghantar makanan sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran.

BACA:
Tular Lambakan Beg Foodpanda Dibuang Di Kawasan Hutan

Susulan itu, lokasi tersebut telah disita di bawah Jabatan Hutan sementara JKR Gombak menyelenggarakan jalan di situ serta syarikat penghantar makanan Foodpanda telah diberi notis amaran daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) atas sebab terdapat beberapa longgokan beg hantaran makanan milik syarikat terbabit.

Penularan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Seni dan Komunikasi HELP University, Andy Hickson di akaun Facebooknya. Beliau meluahkan kekecewaan apabila kawasan yang sering didaki menjadi tempat pelupusan sampah haram.

Foodpanda Sampah
Sumber: FB

Namun demikian, isu tersebut menjelma kembali apabila baru-baru ini beliau lalu dikawasan tersebut dan mendapati longgokan sampah tidak berkurangan seolah-olah tiada perubahan dilakukan. Lagi memilukan apabila masih wujud lagi beg-beg daripada syarikat penghantaran makanan yang terbiar di situ.

No one is taking responsibility. The dump site is still there. Food Panda bags are still there. The authorities were in…

Posted by Andy Hickson on Friday, November 15, 2019

Hickson bertindak mengumpul enam beg Foodpanda yang terbiar di kawasan itu dan membawanya ke lobi sebuah bangunan yang mana syarikat itu beroperasi di Kuala Lumpur.

“Saya ambil masa kira-kira tiga jam untuk mengisi beg berkenaan dengan pelbagai jenis sampah. Dalam proses itu, tangan saya terluka dan baju saya koyak,” katanya.

Tambah Hickson, pada mulanya beliau tidak merancang untuk menyasarkan Foodpanda, namun selepas mendapati dia kehabisan beg sampah, dia menyedari beg-beg syarikat penghantar makanan itu dapat memuatkan lebih banyak sampah di kawasan berkenaan.

Selepas beberapa ketika berada di lobi bangunan, akhirnya Hickson dipanggil untuk berjumpa pengurusan Foodpanda. Katanya, mereka mahu melakukan sesuatu tentang perkara berkenaan dan ingin bekerjasama dengannya. Tetapi bagi Hickson ia lebih baik jika pihak Foodpanda melibatkan penduduk setempat.

“Bagi saya secara peribadi, apa yang terjadi ialah siapapun pihak yang membuang beg berkenaan jangan ambil jalan mudah dan buang di situ. Foodpanda kata mereka masih siasat dan mereka pun tidak tahu,” katanya.

Sumber: MalaysiaKini, Sinar Harian