Isu Ayam Harga Ikan

Isu Ayam Belum Selesai, Ikan Pula Nampaknya Dah Mula Naik Harga

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Belum lagi reda krisis harga dan kekurangan bekalan ayam di Malaysia, timbul pula isu baru yang menyaksikan bekalan ikan juga dilaporkan turut berkurangan sehingga berlaku kenaikan harga.

Kalau isu ayam, beberapa faktor telah dikenalpasti menjadi punca seperti karenah birokrasi tuntutan subsidi, wujudnya kartel ayam, ayam kena sorok, ayam tak cukup berat kerana hilang selera makan akibat cuaca panas, penganjuran rumah terbuka berleluasa yang menghidangkan beraneka jenis lauk ayam dan macam-macam lagi.

Isu harga ikan pula, apakah sebenarnya yang menjadi punca?

Menurut laporan myMetro, kenaikan harga ikan sebanyak 20% di Kelantan disebabkan nelayan di negeri itu tidak dapat turun ke laut berikutan keadaan cuaca buruk sejak seminggu lalu.

Keadaan itu membahayakan nyawa nelayan sekali gus menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan aktiviti menangkap ikan di laut.

Harga ikan dilaporkan telah naik mendadak dengan ikan selayang kecil berharga RM12 sekilogram berbanding RM8 sekilogram sebelum ini dan ikan kerisi sebanyak RM16 sekilogram berbanding RM10 sekilogram sebelum ini.

1 Isu Ayam Harga Ikan

Di Johor pula, bekalan ikan dan hidupan laut berkurangan sebanyak 50% berbanding sebelum ini menyebabkan harganya meningkat sekitar RM1 sehingga RM4 sekilogram seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Bekalan ikan juga mula berkurangan disebabkan faktor cuaca selain kos pengangkutan yang semakin mahal.

Ikan kembung, cencaru dan selar kuning mengalami masalah kekurangan bekalan yang ketara dan kini kebanyakannya hanya boleh diperolehi dari pembekal di Perak.

Sebelum ini, ikan kembung dijual pada harga RM14 hingga RM16 sekilogram namun telah mula meningkat dan dijual antara RM18 hingga RM20 sekilogram.

Ikan selayang pula sekarang RM15.50 sekilogram berbanding hanya RM11 manakala cencaru pula naik ke RM11 berbanding hanya antara RM8 hingga RM9 sekilogram.

Dilaporkan sebelum ini juga, pendaratan ikan terutama di utara semenanjung telah berkurangan sehingga 70% iaitu daripada lebih 1 juta tan kepada hanya kira-kira 300 ribu tan sebulan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.

Isu Ayam Harga Ikan

BACA: Orang Ramai Mengeluh Dan Terkejut Harga Sayur Naik Mendadak Hingga 200%

Sumber: myMetro, Sinar Harian, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)