Khairul Kamilin

Isu Anak 5 Tahun Menangis Di Tabika Perpaduan, Ini Mungkin Jalan Penyelesaian Terbaik Untuk Semua Pihak

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang ibu yang buntu dengan masalah anaknya di sebuah Tabika Perpaduan menjadi viral setelah berkongsi kisahnya di Facebook.

Menurut guru di Tabika Perpaduan tersebut, anaknya yang hanya berusia 5 tahun itu tidak berhenti menangis dan mengganggu proses pembelajaran murid lain.

Anaknya itu juga dikatakan masih belum bersedia, tiada mempunyai kesedaran serta tidak berminat untuk belajar.

Beliau kemudiannya membuat 2 hantaran di Facebook bagi meminta nasihat dan pandangan orang ramai sama ada situasi tersebut adalah normal atau perlukah anaknya itu berhenti tabika.

Tidak sampai 10 jam, perkongsian beliau tersebut menjadi tular dan dikongsi lebih 12 ribu kali serta menerima lebih 5 ribu komen.

Seorang lagi pengguna Facebook, Khairul Kamilin yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dalam menangani situasi yang sama, turut membuat satu ulasan panjang lebar di Facebooknya mengenai isu ini.

Diharapkan agar perkongsian beliau ini dapat membuka mata semua pihak untuk sama-sama melakar jalan penyelesaian terbaik serta dapat dijadikan pengajaran buat semua ibu bapa dan guru-guru tabika di Malaysia.

Khairul Kamilin

Saya telah di tag oleh rakan FB, Khaizura Khalid dan beberapa orang rakan yang lain berkaitan isu yang tular beberapa jam yang lepas.

Disebabkan ini memang niche saya, jadi saya akan ulas dan mungkin tulisan ini akan jadi sangat-sangat panjang.

Pertama, saya sebutkan hal teknikal dulu ya.

Kisah sepihak (kerana belum ada kisah sisi lain) yang viral hari ini dikhabarkan berlaku di Tabika Perpaduan.

Perlu diingatkan bahawa Tabika Perpaduan adalah terletak dibawah seliaan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jadi jika kalian nak tag, sila tag pihak yang sepatutnya ya. Jangan pukul rambang salahkan KPM.

Pun begitu, kurikulum di Tabika Perpaduan memang menggunakan kurikulum standard yang sama seperti di prasekolah KPM.

Setiap premis yang beroperasi di bawah jagaan seorang guru dan pembantunya, pasti ada ketua yang memantau dan menyelia.

Justeru setiap permasalahan yang berlaku di kelas tadika atau prasekolah, dahulukan mengikut tertib dan aturkan emosi terlebih dahulu.

Faham. Banyak perkara yang boleh buat kita marah, geram, mengamuk, sedih dan kecamuk. Apatah lagi jika ia melibatkan anak kesayangan kita.

Tetapi hemah tinggi sebagai ibu bapa tetap perlu, sebab akhirnya kita nak hantar signal yang tepat bahawa kita nakkan perubahan bukan permusuhan.

Jika komunikasi dengan guru gagal, segera bertemu dengan ketua jabatan atau pegawai yang bertanggungjawab menyelia guru-guru di bawah jagaannya.

Semua guru ada boss mereka. Adukan dan tuntut siasatan segera dan menyeluruh dilakukan.

Hak ibu bapa adalah mengadu dan hak pentadbiran premis pendidikan adalah memastikan sama ada laporan itu benar dan memastikan tiada kecurangan dan keculasan dalam kerja buat guru.

Aduan ke media sosial adalah jalan paling akhir apabila kesemua cara gagal atau menemui jalan buntu. Diulang, jalan paling akhir.

Sebab once kerosakan diperbesarkan di medsos, hampir pasti tiada jalan pulang lagi untuk proses pembaikan. TIADA!

Saranan seperti atas ini tak popular, tapi itulah flownya jika yang diinginkan kita adalah kebaikan buat semua.

Yang popular ialah pergi serang, maki hamun, pecat, buang kerja, hukuman berat. Itu popular dan netizen suka.

Sofia Hussien

Kedua, perihal guru dan anak kecil 5 tahun (berdasarkan cerita sepihak).

Mengendalikan anak kecil bukan tugas yang mudah. Semua orang tahu tentang ini dan tak semua orang mampu galas tanggungjawab yang sama sebagai seorang guru kepada anak kecil.

Tahniah dan takziah, buat cikgu yang memilih dan dipilih serta berjaya mengisi tanggungjawab itu.

Tahniah kerana kesanggupan buat benda yang tak semua orang mampu dan takziah kerana cabarannya begitu besar.

Mentaliti guru banyak dipengaruhi oleh sejauh mana pendidikan yang dia sendiri dapat, latihan yang diperoleh, bacaan dan kajian yang dilakukan, serta pengalaman yang ditimba dari tahun ke tahun.

Tidak dilupakan juga, persepsi masyarakat umum terhadap apa yang patut cikgu beri dan apa yang murid perlu capai pada fragmen umur tertentu. Ia banyak mencorak cara guru bertindak.

Dalam kes yang tular itu, guru secara terang dan jelas mengandaikan bahawa anak kecil itu tidak bersedia ke sekolah dan meletakkan tanggungjawab mempersiap anak kecil itu sepenuhnya kepada ibu bapa.

Tanpa menafikan sepenuhnya pandangan guru itu, sementelah saya pun guru merangkap ibu bapa, pada saya tindakan membakulkan tanggungjawab persediaan anak kepada ibu bapa semata adalah sangat tidak wajar.

Anak kecil itu mahu bersedia terlebih dahulu bagaimana kalau pintu pagar sekolah pun dia tak pernah masuk dan lantai kelas tadika pun dia tak pernah pijak?

Adakah guru menyangka persediaan mental anak-anak ini boleh berjaya hanya dengan visualize dalam otak saja, kemudian ‘hip hip horay’ bila jejak ke kawasan yang sangat asing dalam hidupnya?

Umum telah menyebutkan bahawa hari persekolahan baru sahaja 5 hari dan point ini memang sangat valid untuk diketengahkan.

Setiap anak tahap kecepatan untuk dia beradaptasi itu berbeza-beza. Ada yang cuma perlukan sehari, tetapi jangan hairan jika ada yang perlu sehingga sebulan malah lebih!

Sofia Hussien

Anak kecil ini perlu melepasi dugaan besar emosi yang tak pernah dialami serupa dengannya di mana-mana. Tiga perkara besar yang perlu mereka hadap;

  1. Separation anxiety; ketakutan mendepani perpisahan sementara dengan ibu bapa.
  2. Contextual adaptation; keperluan beradaptasi dengan persekitaran, suasana dan perlakuan orang asing.
  3. Social adaptation, keperluan beradaptasi dengan penerimaan rakan-rakan sebaya, guru dan komuniti sekolah.

Kecil cabarannya bagi orang dewasa tapi sangat besar bagi seorang kanak-kanak. Ini kerana level of their experience is ZERO!

Jadi apa expectation kita sepatutnya terhadap anak sekecil itu? Semestinya kena bermula dari ZERO juga.

Yang menjadi masalah sehingga mengundang murung dan stress kepada guru itu ialah apabila guru itu sendiri telah set jangkaan yang tinggi kepada seorang murid 5 tahun, seolah mereka telah bersedia sebaris dengan persediaan seperti budak darjah 5. Bila tak meet expectation(s), maka harulah jadinya.

Sofia Hussien

Adakah perlu bagi ibu bapa mempersiap anak-anak sebelum ke tadika? SANGAT PERLU.

Tak cukup hanya sekadar cerita, pesan, nasihat dan bagi gambaran. Anak-anak perlukan tangible situation. Create persekitaran pembelajaran simulasi terlebih dahulu di rumah sebelum anak ke tadika.

Panggil abang kakak, anak-anak jiran, anak-anak ipar duai atau sesiapa saja yang sesuai untuk berada dalam kelas simulasi itu. Wujudkan guru dari kalangan orang dewasa. Buat biar sampai benar-benar mirip.

Dan setelah berusaha, gunakan kuasa doa ibu bapa, mudah-mudahan urusan pemahaman dan adaptasi anak ke dunia baru dipermudahkan.

Namun setelah segala usaha dilakukan, adakah berkemungkinan juga anak tidak berjaya kawal dirinya sendiri? Semestinya ya. Simulasi dan realiti tentulah berbeza.

Maka tugas ini lah yang perlu digalas oleh guru sebagai pemudahcara. Guru tadika bukan pensyarah universiti yang menerima pelajar yang ‘sudah siap’. Guru tadika adalah pencanai pertama dalam realiti pendidikan formal anak-anak.

Anak meraung menangis untuk beberapa hari permulaan itu biasa. Mereka tiada pengalaman dan kemahiran untuk menggunakan coping mechanism yang sesuai.

Maka baliklah mereka terhadap sifat natural manusia sejak bayi bila berhadapan cabaran. Tak tau nak buat apa, menangislah caranya.

Di sinilah kebijaksanaan guru diperlukan untuk menukarkan paradigma mereka daripada hanya menangis, kepada “menangis saja tak menyelesaikan masalah atau menangis pun tak dapat apa”.

Tak dinafikan tangisan seorang murid apatah lagi raungannya sangat mengganggu perjalanan kelas. Itu belum kira lagi kalau disulami dengan amukan.

Malah tangisan juga adalah sejenis ‘penyakit berjangkit’ di kalangan kanak-kanak. Seorang menangis, tak semena-mena yang lain ikut menangis.

Sebagai anggota masyarakat, apabila kita tahu dan kita sendiri kata bahawa budak menangis itu ‘biasa’,  maka janganlah pula bawa mulut kata, “cikgu tu budak nangis pun, dibiarkan saja”.

Ada beza kanak-kanak 5 tahun menangis dengan bayi menangis. Bagi bayi, itu sajalah satu-satunya cara untuk dia berkomunikasi.

Berbanding murid 5 tahun pula, dia sudah mampu menyampaikan hasrat menerusi komunikasi badan, percakapan dan tindakan.

“Biarkan saja murid menangis” juga termasuk dalam langkah permulaan. Bunyinya macam kejam, tapi itulah hakikat yang perlu difahami semua.

Ketika ini lah guru perlu mencari di mana titik ‘pause’ kepada tangisan itu dan apa yang menyumbang ke arahnya.

Layan titik pause itu, bukan layan tangisannya.

Kau nak nangis? Nangislah.

Eh, kau dah pause, maka mari kita berkawan.

Cekalkan hati, tak perlu stress dengan tangisan. Manusia mana yang tak pernah nangis?

Murid melalak, dia terdiam seketika bila dia nampak cikgu buka TV.

Murid menangis, dia pause seketika bila dia nampak cikgu buat-buat kemas alat mainan depan muka dia.

Murid menangis, dia berhenti 10 saat bila tengok cikgu pegang makanan sedap depan muka dia.

Dan banyak lagi pause-pause pada tangisan anak-anak tadi untuk dijadikan ‘point’ bagi cikgu mulakan upacara ‘masuk jarum’ dan sulam bonding yang baik antara guru dan murid.

Trust me, ia tak semudah menulis, but it will work. Lebih 10 tahun saya hadap benda sama.

Tak banyak, at least mesti jumpa punya satu. Mesti ada punya. Kena ingat anak tu manusia. Kita mesti ada satu pattern universal yang sama. Anak bukan mesin yang terlalu sukar ditafsir.

Nampak dia suka makanan, bagi dulu tanpa syarat.

Nampak dia suka mainan, bagi dulu tanpa syarat.

Untuk progress, ia perlukan pemeringkatan. Bukan terus cerdik dan adapt dalam sehari. Untuk hari seterusnya bila murid sudah mula selesa dengan kita dan tidak lagi menganggap kita ini stranger, bahkan kepercayaan bahawa guru ‘sudah menggantikan ibu bapanya di sekolah’, maka lebih mudah kita letak syarat.

“Danial tengok kawan lain tu, semua menulis dan mewarna. Menulis dan mewarna best tau. Kalau Danial nak makanan ni, Danial mesti buat macam kawan-kawan buat dulu. Nanti cikgu bagi makanan ni lepas Danial buat”.

Kita sudah mula menyulam syarat. Dan semakin lama semakin ketat, dan akhirnya barulah kesukaannya dipindahkan dari makanan kepada aktiviti bersama kawan-kawan.

Semua ini tak dapat dalam masa 5 hari. Boleh jadi gagal berkali-kali. Ambil masa dan jangan pressure. Nawaitu kita memang nak jaga anak itu sehingga berjaya kan? Ke, sebab kita kerja semata nak gaji je? Harapnya bukanlah.

Apabila kita jaga anak orang macam anak kita, frust dan teruji macam mana pun kesabaran kita, kita hanya berkeluh kesah seketika tanpa melepaskannya.

Sofia Hussien

Seandainya guru sudah sehabis usaha namun masih tidak berdaya, maka tindakannya sama juga seperti apa yang perlu dilakukan oleh ibu bapa.

Bukan mesej ibu bapa suruh bawa balik anak simpan di rumah. Tetapi adukan kepada majikan atau boss kita tentang perihal anak itu.

Tindakan pramatang dengan menafikan terus akses pendidikan untuk anak-anak itu kerana ketidakmampuan kita mengendalikan mereka adalah satu kesalahan.

Kadangkala memang ada anak yang buat guru usaha dan drag sampai ‘habis meter’ dah nak handle. Tak tau nak buat apa dah. Di sini tanggungjawab ketua jabatan untuk usulkan kepada ibu bapa supaya buat pemeriksaan dengan pakar.

Ibu bapa mesti terbuka apabila dinasihati kerana lazimnya apabila sudah sampai ke peringkat dinasihati begitu, maksudnya sudah serius dan guru sudah nampak bibit-bibit masalah pada anak-anak kalian dan ketika itu jangan pula cuba nafikan hak untuk anak itu dapatkan pemeriksaan kerana ego kita.

Dan akhirnya, fahamilah kita semua bahawa setiap masalah ada penyelesaian mengikut aturan dan jalannya. Ibu bapa faham fungsinya. Guru faham peranannya dan masyarakat mesti beri kerjasama.

Jika membetulkan tindakan manusia setempat adalah sukar, bawa anak keluar dari persekitaran itu dan bersusah sedikit ketempat baru. Mesti.

Atas pertikaian apa pun, pastikan yang akan dapat manfaat adalah anak kita. Bukan masing-masing tegakkan ego dan akhirnya terbakar cita dan citra kita semua.

Kk.

Sumber & kredit foto: Facebook Khairul Kamilin, Facebook Sofia Hussien