Iran Tawar RM320 Juta Untuk Kepala Trump, Ancam Serang Rumah Putih

Iran Tawar RM320 Juta Kepala Trump
Sumber: The Mind Unleashed

Hubungan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) semakin tegang menyusuli serangan dron oleh AS pada 3 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad yang membunuh Mejar Jeneral Qasem Soleimani dan timbalan ketua pasukan tentera Iraq, Abu Mahdi al-Muhandis.

Dua roket diluncurkan dekat kedutaan Amerika Syarikat di ibu kota Iraq pada 5 Januari. Menurut para saksi, beberapa jam setelah dutanya dipanggil berhubung serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat yang membunuh anggota kanan komando Iraq dan Iran.

Iran sejak pembunuhan itu mengeluarkan ganjaran berjumlah AS$80 juta (RM320 juta) untuk sesiapa yang dapat membunuh Presiden AS terbabit, malah mengancam untuk menyerang Rumah Putih.

Penganjur majlis pengebumian Soleimani turut menyeru semua rakyat Iran untuk menderma sebanyak AS$1 (RM4.10) setiap seorang untuk mencukupkan jumlah AS$80 juta itu. Iran turut mengumumkan tidak akan mematuhi sebarang had dikenakan dalam perjanjian nuklear 2015.

Iran Tawar RM320 Juta Kepala Trump
Sumber; The Straits TImes

Tindakan itu membuatkan Presiden AS, Donald Trump memberi amaran akan menyerang dengan lebih keras sekiranya Iran membalas dendam atas pembunuhan pemimpin tentera mereka.

“Semua kenyataan media ini adalah pemberitahuan kepada Kongres bahawa AS akan bertindak dengan lebih keras jika Iran menyerang sebarang individu atau menjadikan kita sebagai sasaran.

“Notis undang-undang tidak diperlukan tetapi akan diberikan,” kata terakhir menerusi laman Twitter rasminya.

Beberapa ahli politik AS mempersoalkan apakah tindakan itu sudah diluluskan dan berkata, mereka tidak melihat keperluan mencukupi untuk serangan terbabit dilakukan.

Bagaimanapun Trump bersuara dan mengecam ahli politik serta pengamal undang-undang yang mengkritiknya kerana tidak memaklumkan kepada Kongres sebelum mengarahkan serangan dibuat ke atas Iran.

Sumber: BH, Mediacorp