Iran Nafi Pesawat Ukraine Terkena Peluru Berpandu Walaupun Ada Bukti Dari Sumber Risikan

Iran Nafi Tembak Pesawat Walaupun Ada Bukti

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata beberapa sumber risikan menunjukkan Iran menembak jatuh pesawat Ukraine selepas ia berlepas dari Tehran, menyebabkan 176 penumpang dan anak kapal termasuk 63 warga Kanada, maut.

Trudeau berkata demikian susulan imej dimuat naik di media sosial semakin kuat menunjukkan nahas itu berlaku akibat kesilapan pertahanan udara Tehran hingga menyebabkan pesawat PS752 Ukraine International Airlines terbakar.

“Kami mempunyai penyiasat dari pelbagai sumber, termasuk sekutu dan penyiasat kami sendiri.

“Bukti menunjukkan bahawa pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu dari permukaaan ke udara Iran. Ini mungkin tidak disengajakan,” kata Trudeau.

Iran Nafi Tembak Pesawat Walaupun Ada Bukti
Sumber: EPA

Bagaimanapun, tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya Menteri Pengangkutan Iran, Mohammad Eslami kerana punca pesawat itu terhempas dan terbakar adalah daripada kegagalan teknikal.

Tambah Eslami, terdapat beberapa saksi boleh mengesahkan kejadian itu.

“Semua laporan itu adalah perang psikologi terhadap Iran … semua negara yang rakyatnya berada di dalam pesawat itu boleh menghantar wakil dan kami meminta Boeing menghantar wakilnya untuk menyertai proses penyiasatan kotak hitam.”

Susulan itu, Perdana Menteri Britain Boris Johnson menyeru diadakan siasatan penuh yang telus terhadap kemalangan yang membunuh semua 176 orang di atas pesawat berkenaan termasuk empat warga Britain.

Insiden tersebut berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera Iraq yang menempatkan pasukan Amerika Syarikat (AS).

Sumber: BH,BBC