Iran Waran Tangkap Trump

Iran Minta Bantuan Interpol Keluarkan Waran Tangkap Terhadap Trump

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Iran telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump atas pembunuhan komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral, Qasem Soleimani pada Januari lalu.

Memetik laporan Fars News Agency, Tehran turut meminta bantuan Agensi Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengeluarkan notis merah ke atas bilionair hartanah terbabit.

Pendakwa Tehran, Ali Qasi Mehr, berkata 36 pegawai politik dan ketenteraan AS yang terbabit dalam pembunuhan Jeneral Qasem Soleimani sudah disiasat dan diperintahkan untuk ditangkap melalui Interpol.

“Mereka ini dituduh melakukan pembunuhan dan keganasan. Senarai paling atas ialah Trump dan pendakwaannya akan diteruskan, walaupun selepas tamat tempoh penggalnya.

“Badan kehakiman Iran juga sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap 36 orang yang terbabit itu,” katanya.

Beliau meminta Interpol mengeluarkan notis merah bukan sebagai waran tangkap, tetapi bagi mereka yang dikehendaki untuk pendakwaan atau hukuman.

Trump sebelum ini mengarahkan pembunuhan Soleimani pada 3 Januari lalu dengan serangan dron berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad. Soleimani adalah pejuang bagi negaranya, namun bagi Trump, dia adalah seorang pengganas paling dikehendaki di dunia dan sepatutnya sudah lama dihapuskan.

Iran Tawar RM320 Juta Kepala Trump
Sumber; The Straits TImes

Pembunuhan tersebut turut mencetuskan krisis baharu di Asia Barat hingga menyaksikan harga minyak melonjak selain siri serangan balas dilancarkan Tehran dan proksi mereka ke atas pangkalan tentera yang menempatkan pasukan tentera AS di Iraq.

Difahamkan, permintaan Iran itu mungkin tidak diendahkan Interpol memandangkan garis panduan agensi antarabangsa itu melarang campur tangan atau aktiviti melibatkan politik.

Wakil khas AS bagi Iran, Brian Hook, turut mempersendakan permintaan Iran kepada Interpol dan menganggapnya sebagai aksi propaganda.

“Penilaian kami adalah bahawa Interpol tidak campur tangan dan mengeluarkan notis merah berdasarkan sifat politik,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara Arab Saudi, Riyadh semalam.

BACA: Pemimpin Agung Iran Ancam Usir Warga AS Dari Iraq Dan Syria

BACA: Iran Tawar RM320 Juta Untuk Kepala Trump, Ancam Serang Rumah Putih

Sumber: BH