
Invincible – Animasi Ganas Dan Mengerikan Untuk Tontonan Dewasa Sahaja
Kepala berkecai, biji mata tersembul keluar, anggota badan termasuk tulang, kaki dan tangan putus terkulai, organ dan usus hancur bersepai, mayat-mayat bergelimpangan, percikan dan tompokan darah di merata-rata. Ya, darah. Banyak darah. Terlalu banyak darah. Sini darah, sana darah. Darah lagi…dan lagi!
Ya, Amazon Prime Video buat hal lagi! Selepas siri adiwira mega brutal The Boys (2019 – ) yang kini memasuki musim ke-3, kini mereka bawakan pula siri animasi Invicible yang turut sarat dengan aksi yang melampau ganas dan ngeri.

Berdasarkan karya popular pencipta The Walking Dead iaitu Robert Kirkman terbitan Image Comics, Invincible turut dibawakan oleh penerbit eksekutif yang sama dengan The Boys iaitu Seth Rogen (tanpa James Franco). Seperti biasa, kali ini juga Seth Rogen turut sempat melakukan beberapa kemunculan istimewa.

Bintang utamanya juga berasal dari siri AMC The Walking Dead iaitu Steven Yeun yang baru-baru ini tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Oscar untuk filem Minari (2020). Nama-nama lain yang turut menyumbangkan bakat termasuklah J.K. Simmons, Sandra Oh, Zazie Beetz, Walton Goggins, Gillian Jacobs, Mahershala Ali, Jon Hamm, Zachary Quinto, Clancy Brown dan Mark Hamill.
Musim pertama Invincible agak tidak konsisten. Dari sebanyak 8 episod yang dibawakan kali ini, hanya beberapa episod sahaja yang benar-benar menghiburkan. Seperti biasa, demi ‘semangat’ diversity dan equality, watak gay kini wajib dibawa masuk dalam setiap produksi hiburan Amerika Syarikat.

Invincible juga agak kekurangan dari segi skor muzik dan lagu tema yang menjadi nadi penting buat adiwira. Mungkin Invincible boleh mengambil contoh dari siri animasi untuk tontonan dewasa yang lain seperti Rick and Morty (2013 – ) yang turut memuatkan aksi ngeri secara humor dan komedi.
Mendapat pengiktirafan 98% di Rotten Tomatoes, musim ke-2 dan ke-3 Invincible kini berada dalam proses produksi awal. Seperti The Boys, walaupun tidak sesuai untuk kanak-kanak, unsur ganasnya masih tidak terlalu graphic dan bukan digunakan semata-mata untuk ‘memancing’ golongan dewasa.

Jadi, mereka yang ‘lemah semangat’ tetapi masih berjiwa ganas dan brutal, masih ada harapan dan bolehlah cuba menontonnya. Mungkin perlu diingatkan sekali lagi di sini, brutal dan ganaslah macam mana cara sekalipun, Invincible tetap merupakan sebuah siri kartun.