Ini Tip Cari Kerja Ketika Musim COVID-19

Tip Cari Kerja Ketika COVID-19

Tip Cari Kerja Ketika Musim COVID-19.

Antara cabaran besar sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19 di Malaysia sehingga ke hari ini ialah cabaran mencari pekerjaan baharu.

Pandemik COVID-19 mengundang kesan kepada semua orang menyebabkan golongan pencari kerja khususnya yang masih muda menjadi buntu.

Tambahan pula sekiranya anda mempunyai segulung sijil, diploma, ijazah, sarjana sekali pun PhD, takkanlah pengiktirafan diri yang ada hendak dibuat ‘pekasam’ sahaja.

Apa yang boleh dilakukan untuk memastikan pencarian kerja tanpa putus asa pada masa ini?

Ini antara tip yang dikongsikan oleh syarikat media global yang memberi tumpuan kepada teknologi, kepimpinan dan gaya hidup, Forbes:

1. Tetap terus mencari kerja

Walaupun kita masih dalam fasa mengekang penularan wabak, usaha pencarian pekerjaan anda harus diteruskan seperti biasa.

Teruskan menghantar permohonan anda dan ‘menggilap’ resume serta surat lamaran untuk mendapat sesuatu pekerjaan.

Sekali pun sesebuah syarikat itu perlu untuk menghentikan sementara pencarian pekerja semasa wabak korona ini, pastinya peluang akan terbuka ketika operasi kembali normal dan mereka perlu mengisi seseorang untuk sesuatu jawatan.

Penyenaraian permohonan baharu barangkali mencerminkan perubahan yang akan dibuat oleh syarikat untuk memindahkan tenaga kerja mereka.

Tambahan pula kebanyakan kerja pada masa ini boleh dilakukan dengan hanya di hujung jari. Mungkin ada peluang anda di situ.

2. Bina rangkaian diri anda

Sekarang adalah masa untuk anda menonjolkan diri anda lebih daripada sebelumnya. Jika berhasrat bekerja di luar negara, wujudkan profil LinkedIn dan aktif di situ kerana anda memerlukannya.

LinkedIn adalah tempat untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun kalau berhasrat hanya bekerja dalam negara, terdapat banyak laman web pencari kerja seperti JobStreet Malaysia. Lazimnya anda perlu mengisi resume terus di situ.

Ambil kesempatan masa yang ada dengan melibatkan diri menyertai sesuatu forum atas talian, perbincangan dan berkongsi ilmu. Jangan takut untuk meminta bantuan atau nasihat kerana itulah rangkaian anda.

Mana tahu kredibiliti dan kelebihan diri anda dapat dilihat di situ sehingga ada yang membuka peluang pekerjaan buat anda.

Pada masa ini, laman sosial seperti Facebook, Instagram, malah TikTok juga antara medium anda boleh menonjolkan kelebihan diri.

3. Terlibat dengan orang lain

Terdapat beratus-ratus pilihan medium rangkaian dari bidang pendidikan sehinggalah ke sosial, jadi memanfaatkan sepenuhnya rakan-rakan maya yang anda temui.

Cari keseimbangan secara profesional dan dalam masa sama bersosial dengan berkomunikasi bersama mereka yang dalam bidangnya. Biasanya di laman forum dan laman sosial berkaitan, terdapat ruangan komen.

Dengan berbual bersama mereka yang profesional, tidak mustahil jika anda mendapat idea di situ. Bahkan mungkin ada yang membuka peluang pekerjaan buat anda.

Mana tahu cara berkomunikasi secara santai itu sekali gus mampu meningkatkan mood anda, membantu mengurangkan tekanan yang tidak menentu pada masa sekarang.

Tip Cari Kerja Ketika COVID-19

4. Biasakan diri untuk selesa bercakap di telefon

Video dan panggilan telefon kini menjadi cara kebanyakan syarikat mengadakan temubual atau temuduga.

Hantar surat-menyurat permohonan pekerjaan melalui e-mel, kemudian telefon dan mungkin temubual akan diadakan dengan video.

Sekiranya anda tidak yakin bercakap di telefon, dapatkan beberapa rakan untuk membantu berlatih dengan beberapa panggilan.

Pastikan mesej mel suara anda disediakan menggunakan bahasa dan suara yang profesional. Sediakan sudut lokasi yang jelas dan sesuai untuk temubual video.

Periksa semua tetapan kamera dan audio anda lebih awal dan gunakan fon kepala supaya anda boleh mendengar dan didengar dengan jelas. Ujilah ia sebelum anda ditemubual untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.

5. Belajar berniaga

Barangkali memang sukar mencari pekerjaan dengan syarikat atau orang lain pada masa ini. Apa kata dalam masa sama, anda cuba juga untuk belajar berniaga.

Setiap orang pasti mempunyai minat dan kelebihan diri. Gunakanlah kelebihan dan minat tersebut untuk berniaga. Entah-entah rezeki anda hanya dapat ditemui dengan berniaga.

Cubalah! Tidak mengapa mulakan dengan merangkak, kemudian bertatih sebelum dapat berdiri dan berlari. Yang penting sentiasalah mencari ilmu.

6. Biarkan diri anda kecewa

Cabaran masa ini tidak mustahil boleh mengecewakan dan mungkin anda anda akan berdepan tekanan.

Benarkan diri anda berasa kecewa, tetapi jangan memendam perasaan itu. Berjuang untuk beberapa minit dengan senaman, bermeditasi, hubungi rakan atau apa sahaja yang menenangkan anda. Kemudian kembali mencari kerja.

Pendek kata, pencari kerja sememangnya harus terus memohon pekerjaan pada masa ini. Orang yang paling berjaya ialah mereka yang bertahan semasa cabaran.

7. Berdoa

Sekiranya anda beragama Islam, kita harus akur bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan daripadaNya. Jika anda sudah berusaha dan berdoa, kemudian bertawakallah.

Pastinya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Berdoalah supaya pulangan yang anda dapat adalah lebih baik.

8. Industri yang masih mengambil pekerja di saat pandemik

Menerusi kaji selidik laman pencari kerja, lima industri ini masih mengambil pekerja meskipun berdepan persekitaran yang mencabarkan.

Didapati industri berkaitan teknologi maklumat (IT), perkilangan, perbankan, runcit dan penjagaan kesihatan masih mencari pekerja di tengah-tengah penularan pandemik.