Mydin

Ini Sebabnya Kenapa Rakyat Malaysia Tetap Bersatu Hati ‘Support’ Pasar Raya Mydin

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sikap pemurah, rendah diri dan keperibadian mulia Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin sememangnya telah banyak kali dipaparkan di akhbar harian dan media sosial.

BACA: Kedai Dipecah Masuk Ketika Banjir, Bos Mydin ‘Halalkan’ Demi Kelangsungan Hidup

Rata-rata rakyat Malaysia juga selama ini memang lebih senang membeli barang keperluan harian di Mydin yang dikatakan masih lagi berpatutan serta murah.

Telah banyak juga dikongsikan oleh pempengaruh media sosial sejak akhir-akhir ini mengenai peranan Mydin dalam menjalankan tanggung jawab sosial seperti memelihara kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.

Berikut merupakan satu lagi kisah yang dibawakan oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebooknya yang membuktikan kenapa Rakyat Malaysia kini masih lagi tetap bersatu hati memberi sokongan terhadap pasar raya Mydin.

Mydin

(Coretan panjang. Jika nak baca rumusan, boleh lihat pada gambar)

Saya doktor perubatan rehabilitasi.

Ketika saya masih berkhidmat di hospital dulu, saya selalu tulis surat. Hampir setiap minggu saya tulis surat permohonan kerja bagi pihak pesakit saya. Itu memang antara skop kerja saya.

Saya ingat lagi ada satu surat yang saya tulis kepada salah satu cawangan MYDIN Malaysia, memohon mereka pertimbangkan mengambil seorang pesakit serebral palsi sebagai pekerja mereka.

Pesakit saya tu ada kekurangan upaya fizikal dan kognitif. Pergerakannya memang jelas nampak bermasalah. Berjalan tidak sempurna. Kawalan jari jemari pun tak baik.

Mydin balas surat saya, dan kami berjumpa untuk penerangan lanjut. Beriya-iya saya buat jelaskan kenapa pesakit saya perlu bekerja.

Bekerja adalah punca pendapatan. Bekerja adalah satu bentuk terapi. Bekerja adalah ibadah. Ia memberi sebab dan matlamat kepada kehidupan.

Tak lama selepas itu,  pesakit saya dipanggil untuk sesi temuduga. Saya punyalah bimbang, macam saya punya yang akan ditemuduga.

Dipendekkan cerita, pesakit saya telah menerima tawaran bekerja dengan Mydin.

Pada orang lain, mungkin ia berita yang biasa sahaja. Namun untuk pesakit saya dan emaknya ia berita yang  membanggakan. Bukan mudah untuk warga kurang upaya untuk mendapat pekerjaan.

Minggu pertama pesakit saya tu bekerja, saya pergi ke Mydin tempat dia bekerja. Saya cari-cari dia tak jumpa.  Akhirnya saya bertanya kepada petugas Mydin dan saya ditunjukkan di mana pesakit saya ditugaskan.

Dia ditugaskan di lorong peralatan berkaitan ibadah, seperti kopiah, telekung, sejadah dan sebagainya. Dari jauh saya nampak pesakit saya sedang melipat sejadah. Terketar-ketar tangan dia. Lambat kerjanya.

Risau saya masih belum hilang. Saya risau bila dia kerja dalam keadaan begitu, adakah majikan dan rakan sekerja akan memandang rendah padanya. Berapa lama dia boleh bertahan di sini.

Saya mahu dia bekerja. Pekerjaan adalah punca pendapatan. Pekerjaan adalah satu bentuk terapi fizikal dan kognitif. Pekerjaan juga adalah salah satu jenis ibadah.

Saya menyapa pesakit saya, kami berborak seketika dan tak lama selepas itu kami disertai oleh penyelia pekerja. Penyelia kata Mydin akan pastikan pesakit saya berasa selesa kerja bersama mereka.

Alhamdulillah, setahu saya sehingga hari ini, dah 5 tahun dan pesakit saya masih bekerja di Mydin berkenaan. Sekali sekala saya melawat pesakit saya di sana, nampak ada pekerja OKU lain juga.

Ini suatu yang kita semua kena sokong.

Selain Mydin ada beberapa syarikat yang menerima pekerja OKU (dengan kekurangan upaya ketara), tapi itu lain kalilah saya ceritakan. Hari ini saya cerita tentang Mydin dan pesakit saya, Muhammad Agus.

Di bawah ni, ada Agus bergambar dengan Datuk Wira Ameer Ali Mydin.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Perubatan Rehabilitasi

Nota: Sekarang saya buka pusat rehabilitasi sendiri, iaitu Greatlife Physiotherapy & Rehabilitation. Ada 4 cawangan, dan saya masih suka mencari pekerjaan untuk pesakit saya (dengan bantuan PERKESO).