
Ini Sebab Mengapa 18 Tertuduh Kes Bunuh Zulfarhan Perlu Bela Diri
Tanggal 31 Julai menandakan tarikh keputusan kes bunuh pelajar UPNM yang melibatkan 19 pelajar dari universiti tersebut yang didakwa membunuh dan mencederakan rakan seuniversiti mereka, Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lepas.
Lapan belas penuntut UPNM diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan hanya seorang tertuduh bebas mutlak iaitu Muhammad Akmal Akif Alias yang dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.
Dalam keputusan tersebut, lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri membela diri atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali juga diperintah membela diri atas pertuduhan bersubahat membunuh mangsa.
Pertuduhan terhadap mereka, yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Manakala keenam-enam tertuduh bersama 12 penuntut yang lain turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Mengapa mereka perlu membela diri atas pertuduhan tersebut?
Seorang pengguna Twitter menjelaskan tentang perkara tersebut mengenai perkembangan seterusnya dalam kes ini.
https://twitter.com/smokefassad/status/1156390437638168576

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.
Sumber: Sinar Harian